Azizulhasni akur melepaskan tiket kepada pelumba Jepun. FOTO FB Azizulhasni Awang
Azizulhasni akur melepaskan tiket kepada pelumba Jepun. FOTO FB Azizulhasni Awang
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Tiada tiket Olimpik dalam acara pecut individu untuk jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang selepas gagal melepasi pusingan kelayakan di Kejohanan Trek Dunia di London hari ini.

Azizulhasni melakukan 10.084 saat namun tidak mampu mara ke pusingan seterusnya apabila sekadar berada pada kedudukan ke-28 dari 34 pelumba.

Keputusan itu menyebabkan pelumba kelahiran Terengganu itu terpaksa akur melepaskan tiket ke Olimpik Rio kepada pelumba Jepun, Seiichiro Nakagawa.

Selepas hanya dibezakan dengan tujuh mata sebelum perlumbaan, pelumba Jepun itu berjaya muncul pelumba ke-20 terpantas dan mara ke pusingan pertama.

Hanya 24 pelumba mara ke pusingan pertama pada Kejohanan Trek Dunia yang menjadi medan terakhir pelumba mengutip mata ke Rio.

Azizulhasni perlu menamatkan saingan lebih baik dari Nakagawa di London sekiranya ingin layak kerana pelumba China, Xu Chao sudah layak dengan hanya dua pelumba Asia terbaik layak ke Rio.

Keputusan ini menyaksikan Azizulhasni hanya akan beraksi dalam acara keirin di Olimpik Rio pada Ogos nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 10:24 PM