Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pelumba trek negara Mohd Shah Firdaus Shahrom berharap penggantungan terhadapnya akan dikurangkan kepada 12 bulan bagi membolehkan dia membantu rakan senegara Azizuhasni Awang mengharungi kejohanan di pentas antarabangsa terutama dalam memungut mata ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

Shah Firdaus sepatutnya menjadi pengiring Azizulhasni menghadapi pelbagai kejohanan besar sepanjang tahun ini namun pelumba dari Johor itu digantung 18 bulan hingga November ini susulan didapati bersalah menggunakan bahan terlarang dexamethasone.

“Saya mahu secepat mungkin turun beraksi secara kompetitif dan pada masa sama membantu Azizuhasni melayakkan diri ke Olimpik. Agak sukar bagi Azizulhasni melangkah jauh sekiranya beraksi berseorangan di Piala Dunia dalam usahanya mengutip mata ke Olimpik Rio.

“Dia perlukan rakan sepasukan untuk memudahkan tugasnya dan kedudukan mata saya tidak jauh dengannya. Secara tidak langsung saya boleh mengutip mata untuk bersaing bersamanya pada kejohanan tertentu seperti Piala Dunia,” kata pelumba berusia 20 tahun itu.

Biasanya Azizulhasni sentiasa ditemani Josiah Ng dalam menyertai mana-mana kejohanan besar terutama dalam acara keirin yang memerlukan strategi tertentu untuk menang.

Namun Josiah sudah bersara dan kini Azizulhasni menjalani latihan bersama Mohd Firdaus Mohd Zonis di Australia namun mata dan kedudukan pelumba kelahiran Selangor itu masih terlalu rendah.

Ketiadaan Shah Firdaus turut memberi kesan kepada skuad negara apabila ketua jurulatih John Beasley tidak boleh membentuk trio pecut untuk bersaing dalam mana-mana kejohanan kerana kekurangan pelumba.

“Saya sudah menghantar surat kepada PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) dan berharap segala-galanya dapat diselesaikan sebelum saya berlepas ke Australia pada 3 Mei.

“Sukar untuk berlepas ke Australia andai panel rayuan masih memerlukan saya menghadiri prosiding rayuan.

“Saya harap mereka dapat mempertimbangkan hukuman dijatuhkan dan seboleh-bolehnya dikurangkan kepada 12 bulan,” jelasnya.

Shah Firdaus antara pelumba trek negara yang diharap mampu melonjakkan acara berbasikal ke peringkat lebih tinggi selain sudah membuktikan pencapaiannya di pentas antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 9:00 AM