DUA penumpang membalut bagasi dengan plastik di lapangan terbang Manila semalam bagi mengelak objek asing dimasukkan ke dalam beg mereka.
DUA penumpang membalut bagasi dengan plastik di lapangan terbang Manila semalam bagi mengelak objek asing dimasukkan ke dalam beg mereka.

Manila: Kerajaan Filipina menyiasat dakwaan mengenai aktiviti sekumpulan pengawal keselamatan di lapangan terbang Manila yang sengaja meletakkan peluru dalam bagasi penumpang bagi mendapatkan wang.

Dakwaan itu yang menjadi tajuk utama akhbar tempatan turut menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran kepada pegawainya ketika berada di Filipina.

Setiausaha Pengangkutan, Joseph Emilio Abaya berkata, skandal penipuan terlalu dibesar-besarkan, tetapi mengesahkan ada pengawal disiasat atas dua dakwaan peras ugut.

“Tidak adil apabila satu kes membabitkan seorang penumpang yang menjadi mangsa, nama baik kerajaan menjadi buruk,” katanya.

Abaya tidak memberitahu adakah pengawal berkenaan bakal berdepan hukuman atau dakwaan jenayah, tetapi menyatakan Presiden Benigno Aquino mahu semua yang terbabit dipecat.

Katanya, satu kes penipuan itu membabitkan aduan seorang penumpang warga Amerika Syarikat (AS).

Media sebelum ini melaporkan, warga AS itu mendakwa sebutir peluru dimasukkan ke dalam bagasinya di lapangan terbang di Manila.

Pengawal keselamatan meminta denda berjumlah 30,000 peso (RM2,734) atau dia bakal berdepan dengan tuduhan memiliki peluru hidup tanpa kebenaran.

Lelaki itu enggan membayar wang berkenaan menyebabkan dia didakwa di mahkamah sebelum dibebaskan dengan ikat jamin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 6:58 AM