SEBAHAGIAN daripada rakyat Indonesia yang menggunakan pasport Filipina selepas ditahan pihak berkuasa imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila, semalam.  - AP
SEBAHAGIAN daripada rakyat Indonesia yang menggunakan pasport Filipina selepas ditahan pihak berkuasa imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila, semalam. - AP
Agensi

Manila: Jabatan Imigresen di lapangan terbang Manila memintas 177 warga Indonesia yang menggunakan pasport Filipina sebelum mereka menaiki penerbangan menuju ke Arab Saudi.

Ketua imigresen, Jaime Morente berkata, lima warga Filipina yang mengiringi kumpulan itu untuk mengerjakan haji juga ditahan ketika mahu menaiki penerbangan ke Madinah.

Katanya, pasport asli, tetapi diubahsuai itu dipercayai disediakan oleh kumpulan pengiring warga Filipina berkenaan.

Warga Indonesia itu dilaporkan membayar AS$6,000 (RM24,123) hingga AS$10,000 (RM40,206) untuk mengerjakan haji di bawah kuota yang disediakan kerajaan Arab Saudi untuk jemaah Filipina.

“Identiti sebenar penumpang berkenaan terbongkar selepas mereka tidak boleh bercakap dalam sebarang bahasa atau dialek Filipina.

“Mereka kemudiannya mengaku warga Indonesia yang tiba di Filipina secara berasingan sebagai pelancong,” katanya.

Menurutnya, semua penumpang berkenaan bakal didakwa kerana menipu menjadi warga Filipina.

“Semua penumpang itu kini ditahan di pusat tahanan imigresen di Taguig City, pinggir Manila,” jelasnya.

Pihak imigresen juga bekerjasama dengan kedutaan Indonesia untuk mengenal pasti identiti semua penumpang berkenaan sebelum dihantar pulang.

“Jabatan Hal Ehwal Luar dan agensi penguatkuasaan lain kini menyiasat kes penipuan pasport berkenaan,” katanya.

Sementara itu, laporan akhbar Filipina, Inquirer.net melaporkan, sekurang-kurangnya 10 rakyat Malaysia juga ditahan bersama rakyat Indonesia berkenaan.

Menurut akhbar itu, beg mereka yang ditahan ditanda dengan ‘Sheikh Omar Abdulaziz,’ mungkin penganjur kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:03 AM