KENDERAAN yang berjaya ditemui semula.
KENDERAAN yang berjaya ditemui semula.
Oleh Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Tiga kenderaan yang dicuri di sekitar daerah Melaka Tengah berjaya ditemui semula selepas tertangkapnya seorang lelaki berusia 40-an di Batu Berendam, di sini Rabu lalu.

Kereta jenis Proton Waja, Perodua Kancil dan sebuah motosikal jenis RXZ itu ditemui selepas suspek ditahan polis kira-kira jam 6 petang itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, polis kini menjejak beberapa lagi suspek yang dipercayai ahli kumpulan yang melakukan jenayah itu.

"Penahanan dilakukan hasil siasatan polis susulan beberapa kes kehilangan kenderaan yang berlaku di sekitar daerah ini sejak tiga bulan lalu.

"Susulan penahanan suspek, pihak polis berjaya mengenal pasti seorang rakan suspek yang dipercayai ketua kumpulan iaitu Mohd Jazman Abdul Jalil yang dikenali sebagai Potek," katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan lelaki itu kini sedang giat dilakukan dan polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 4:18 PM