FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Sepasukan Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) cemas selepas diugut lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging di Pasar Borong Batu Berendam, Melaka Tengah, 7.15 pagi ini.

Lelaki itu marah selepas mercun jualannya dirampas selain mendakwa dirinya tidak tidak takut pada polis dan mengaku dirinya adalah bekas banduan.

Pegawai pengguat kuasa MPHTJ hanya mahu dikenali sebagai Najman, berkata mereka menemui 20 kotak mercun dipamerkan di atas meja berhampiran bahagian menjual sayur di pasar borong itu.

"Ketika itu kami gagal mengesan lelaki itu dan bertindak merampas mercun berkenaan untuk dibawa pulang ke pejabat.

"Ketika berada dalam van dan bersiap untuk pulang ke pejabat lelaki itu tiba-tiba muncul dan terus membuka pintu van sebelum mengarahkan mercun dirampas dipulangkan," katanya.

Beliau berkata, suspek yang dilihat membebel kepada anggota penguat kuasa kemudian masuk semula ke dalam pasar borong sebelum kembali semula dengan membawa pisau.

Seorang anggota penguat kuasa turut berada di dalam kenderaan itu kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian sebelum suspek ditahan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 8:50 PM