ANTARA peserta yang menyertai tunjuk perasaan makan daging lembu di Kolkata, kelmarin.
ANTARA peserta yang menyertai tunjuk perasaan makan daging lembu di Kolkata, kelmarin.

Kolkata: Sekumpulan cendekiawan dan anggota pertubuhan bukan kerajaan Hindu dan Islam menunjuk perasaan membantah sikap pelampau Hindu yang semakin menjadi-jadi di negara itu dengan mengadakan majlis terbuka memakan daging lembu.

Penyair, pelakon teater, pemimpin politik mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan berkenaan membantah kejadian membunuh seorang lelaki Islam di Dadri, Uttar Pradesh selepas dia dituduh memakan daging lembu, pembunuhan seorang cendekiawan Kannada MM Kalburgi dan serbuan polis terhadap sebuah rumah penduduk Islam.

Tunjuk perasaan anjuran Forum Bahasa dan Kesedaran itu menyaksikan peserta memakan daging lembu dan menyuapkan daging berkenaan kepada satu sama lain.

Bagaimanapun, sayur dan manisan juga disediakan untuk mereka yang tidak memakan daging itu.

Sambil membawa sepanduk yang bermakna ‘makan ikut selera anda,’ penunjuk perasaan menyifatkan tindakan pelampau Hindu mahu mengharamkan daging berkenaan sebagai serangan terhadap masyarakat pelbagai bangsa yang menjadi intipati kepada kewujudan Indian.

Parti Bharatiya Jana (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi merancang mengharamkan penjualan dan memakan daging lembu di India.

Penganut Hindu menganggap lembu haiwan suci dan disifatkan sebagai ibu mereka kerana mengeluarkan susu. Bagaimanapun, sebahagian masyarakat itu tidak melihatnya sedemikian, sebaliknya turut memakan daging haiwan itu, seperti masyakat Islam dan etnik minoriti India lain.

Seorang peserta berkata, kerajaan India sepatutnya menumpukan perhatian mengatasi kemiskinan penduduk, bukan memburu mereka yang memakan daging lembu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:01 AM