New Delhi: Perdana Menteri Narendra Modi menyelar pembunuhan seorang lelaki Islam yang dituduh makan daging lembu lebih dua minggu lalu.

Ini kali pertama dia mengulas kejadian yang mencetuskan kebimbangan rakyat terhadap sikap kurang toleransi terhadap penganut agama minoriti.

Ramai penganut Hindu India menganggap lembu haiwan suci, tetapi daging haiwan itu lazim dimakan golongan berkenaan di selatan negara itu, selain kasta rendah dan kumpulan minoriti Islam serta Kristian.

Kerajaan Modi mahu mengharamkan penyembelihan lembu dan penjualan daging haiwan itu - yang biasanya dijalankan orang Islam - di seluruh negara.

Sejak lelaki berkenaan dipukul mati dua minggu lalu kerana didakwa menyembelih lembu, ahli politik dari parti pemerintah Modi, Bharatiya Janata (BJP) termasuk beberapa menteri membuat kenyataan yang nampak cenderung mempertahankan tindakan kumpulan penyerang terbabit.

Sehubungan itu, semalam, Modi - yang dikritik kerana tidak bersuara berhubung beberapa kejadian dianggap anti-Islam - menyifatkan pembunuhan lelaki itu sebagai ‘menyedihkan’ dan ‘tidak wajar.’

“BJP tidak pernah menyokong perbuatan seperti itu. Pembangkang menuduh BJP mengamalkan politik perkauman, namun sebenarnya mereka yang melakukannya,” katanya ketika diwawancara Anandabazar Patrika.

Modi dilihat gagal mengawal penyokongnya dari golongan pelampau Hindu.

Sejak minggu lalu, lebih 20 penulis memulangkan anugerah dimenangi sebagai protes terhadap sikapnya berdiam diri dalam kematian lelaki Islam terbabit serta pembunuhan seorang ilmuan sekular. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 8:21 AM