POLIS mengawal kediaman Shah Rukh Khan.
POLIS mengawal kediaman Shah Rukh Khan.

Mumbai: Polis di bandar raya ini meningkatkan kawalan keselamatan di kediaman bintang Bollywood Shah Rukh Khan ekoran pertelagahan mengenai kenyataan pelakon itu berhubung sikap tidak bertoleransi di negara itu.

Polis dilihat mengadakan sekatan di jalan raya menuju ke rumah aktor berkenaan dan menahan secara rambang kenderaan untuk melakukan pemeriksaan.

Pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) Kailasj Vijaywargiya Selasa lalu mencetuskan kontroversi apabila berkata jiwa Shah Rukh berada di Pakistan walaupun menetap di India.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas pelakon terkenal berusia 50 tahun itu berkata, wujud ‘sikap tidak bertoleransi agama yang melampau’ di negara itu.

Seorang lagi pemimpin BJP Yogi Adityanath pula membandingkan Shah Rukh dengan ketua militan Pakistan Hafiz Saeed yang didakwa merancang serangan di Mumbai hingga menyebabkan ratusan orang terbunuh.

Dia juga menggesa Shah Rukh berpindah ke Pakistan.

Isu toleransi beragama semakin menjadi-jadi di India, membabitkan BJP, parti pelampau Hindu yang menggalakkan anggotanya menyerang penduduk beragama Islam dan kaum kasta rendah negara itu kerana memakan daging lembu.

Parti itu bercadang mengharamkan penjualan lembu, binatang yang dianggap suci dan disifatkan sebagai ibu kerana mengeluarkan susu.

Empat penduduk Islam dibunuh penyokong BJP sejak enam minggu lalu selepas dituduh memakan daging, menyembelih, mencuri atau menyeludup haiwan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:04 AM