PASUKAN penyelamat mencari mangsa yang masih terperangkap dalam sisa runtuhan bangunan di Beiwudu, China kelmarin.
PASUKAN penyelamat mencari mangsa yang masih terperangkap dalam sisa runtuhan bangunan di Beiwudu, China kelmarin.

Beijing: Sebuah bangunan dua tingkat yang sedang menjalani proses ubah suai runtuh menyebabkan 17 pekerja maut dan 23 lagi cedera, kata pegawai semalam.

Kejadian berlaku pada tengah hari kelmarin di bandar Beiwudu di wilayah Henan ketika sekumpulan pekerja sedang mengubah suai sebuah bangunan.

Jurucakap kerajaan tempatan berkata, seramai 40 mangsa berjaya dikeluarkan dari sisa runtuhan bangunan pada awal pagi semalam.

“Bagaimanapun, 17 mangsa disahkan maut manakala 23 lagi cedera dengan sembilan daripada mereka parah,” katanya.

Ujarnya, individu yang bertanggungjawab menjalankan kerja ubah suai bangunan berkenaan sudah ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Pengarah Hospital Rakyat Wuyang, Liu Jinshan berkata, semua mangsa kejadian maut dan cedera akibat dihempap sisa runtuhan bangunan.

“Ramai mangsa dirawat di unit rawatan rapi kerana kecederaan mereka sangat parah,” katanya.

Seorang pekerja yang terselamat memberitahu, runtuhan berlaku ketika mereka sedang mengubah suai tingkat satu bangunan kediaman berkenaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:10 AM