ANGGOTA bomba memeriksa dinding hotel yang runtuh di Bukit Tinggi, Bentong, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba memeriksa dinding hotel yang runtuh di Bukit Tinggi, Bentong, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


LELAKI warga emas dan kanak-kanak lelaki cedera selepas terkena serpihan batu akibat runtuhan dinding bilik penginapan mereka di sebuah hotel terkemuka di Bukit Tinggi, Bentong, pagi ini.

Dalam kejadian 2 pagi itu, runtuhan dinding berkenaan dikatakan berlaku di tingkat satu bangunan ketika pengunjung hotel itu sedang tidur.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.20 pagi sebelum tiba 45 minit kemudian bagi melakukan kerja menyelamat.

“Siasatan kami mendapati keluasan runtuhan kira-kira 84 meter persegi di aras satu bangunan.

“Seramai 90 mangsa yang berada di bangunan itu dipindahkan ke kawasan selamat bagi memberi laluan kepada kerja pemeriksaan keselamatan oleh bomba dan pihak pengurusan hotel,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan lanjut dan kawasan runtuhan iaitu di kawasan Blok H kini ditutup sementara waktu.

Katanya, operasi itu membabitkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ia ditamatkan jam 4.20 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 4:54 PM