OPERASI pencarian mangsa. FOTO AFP
OPERASI pencarian mangsa. FOTO AFP
AFP

Istanbul: Sejumlah 21 orang disahkan selamat walaupun terperangkap di bawah runtuhan bangunan dua tingkat di timur Turki.

Kerajaan mengesahkan tiada kematian dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kelmarin itu dan operasi operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

"Operasi mencari dan menyelamat di bangunan Malatya sudah berakhir. Syukur tiada mangsa (maut)," kata Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu menerusi Twitternya.

Sebelum itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Ismail Catakli berkata, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan 13 individu di bawah runtuhan, manakala lapan lagi berjaya menyelamatkan diri mereka sendiri.

Gabenor, Aydin Barus, berkata lima individu yang diselamatkan masih dirawat di hospital tetapi kecederaan dialami mereka tidak begitu parah, manakala dua lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bangunan berkenaan tiba-tiba runtuh, mencetuskan debu dan asap, manakala kenderaan di depan bangunan terhumban.

Orang ramai yang melalui jalan berkenaan kemudian segera membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Saksi dan laporan media menyatakan kejadian berlaku ketika kerja mengubah suai dilakukan menyebabkan satu daripada dinding memisahkan dua restoran di tingkat bawah runtuh.

"Saya mendengar bunyi keretakan dan tidak lama selepas itu bangunan runtuh. Kepulan debu memenuhi ruang udara dan ia seperti hari kiamat," kata saksi, Turhan Cobanoglu kepada televisyen HaberTurk.

Ambulans membawa 13 orang ke hospital ketika pasukan penyelamat mencari petunjuk mangsa masih hidup di bawah timbunan sisa runtuhan.

Sementara itu, pemilik bangunan dan tiga orang yang menjalankan kerja pengubahsuaian ditahan, kata pejabat pendakwa Malatya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 11:32 AM