PING Long (belakang) dan Melati (kanan) meraikan kejayaan Sky Kick Junior dan Kombat Fighter.
PING Long (belakang) dan Melati (kanan) meraikan kejayaan Sky Kick Junior dan Kombat Fighter.
Oleh Mohd Badlishah Mohd Ali

Johor Bahru: Dua jaringan Khairil Azizi Azhari sudah cukup membantu Sky Kick Junior dari Muar menjulang kejuaraan selepas menewaskan Kombat Fighter 2-1 pada final Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2015 kategori bawah 12 tahun di Sports Prima, Johor Bahru, baru-baru ini.

Sebelum itu pada saingan separuh akhir, Sky Kick Junior menewaskan Khir Johari FC 3-2 manakala Kombat Fighter mengalahkan Mawar Biru 2-0.

Kegembiraan skuad Sky Kick memuncak selepas Khairil Azizi dan Mohd Hafiez And Razak dianugerah pemain terbaik dan penjaga gol terbaik final.

Pengendali Sky Kick Junior Melati M Roseli Muhammad berkata beliau teruja dengan persembahan anak buah dan bersyukur dengan kejayaan itu.

“Meskipun skuad kami dihambat kecederaan, pemain saya masih mampu memberikan aksi bertenaga bagi membolehkan kami muncul juara kategori bawah 12 tahun,” katanya.

Sky Kick Junior membawa pulang RM800, pingat, barangan Milo-Figos selaku juara peringkat negeri manakala Kombat Fighter RM600. Khir Johari FC dan Mawar Biru yang tewas di separuh akhir masing-masing menerima RM400.

Pasir Gudang FC A (PGFC A) turut mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara selepas membenam Setia Darul Takzim FC A (SDTFC A) 2-0 pada aksi final kategori bawah 16 tahun.

Pada saingan separuh akhir, PG FC A mengalahkan Damai Jaya FC 3-2 manakala SDT FC A mengatasi Sky Kick 3-1.

Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Product, Ng Ping Loong berkata beliau gembira kerana sambutan program anjuran Nestle itu semakin meningkat setiap tahun.

“Saya gembira dengan sambutan diberikan. Selepas sembilan tahun, semua persiapan pasukan teratur dengan organisasi yang rapi dan lengkap,” katanya.

Sky Kick Junior, Kombat Fighter, PG FC A dan SDT FC A akan membawa cabaran Johor bersaing di Grand Final yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 Disember.

Siri ke-11 bakal berlangsung di Safira Sport Planet, Pulau Pinang, Sabtu ini dan selepas itu di Terengganu (7 November), Pahang (14 November) dan Selangor (21 November).

Maklumat lanjut kejohanan sila layari www.milo.com.my atau hubungi Nik Muhd Radzi di talian 019-3519934 dan Zack 019-9444334.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:12 AM