AMELIA harap dapat berlakon drama lagi.
AMELIA harap dapat berlakon drama lagi.
Syanty Octavia Amry


Sejak berusia setahun lagi pelakon Amelia Thripura Henderson, 20, sudah berlakon dalam iklan komersial. Jadi, dia tiada masalah untuk berdepan dengan kamera.

Dia yang kini berlakon dalam drama bersiri Keluarga Pontimau tidak kekok sebaliknya seronok apabila digandingkan dengan pelakon hebat walaupun kali terakhir beraksi di depan kamera kira-kira tujuh tahun lalu.

Keluarga Pontimau yang ditayangkan di TV3 itu membariskan pelakon antaranya Marsha Milan, Keith Foo dan Sean Lje sudah pun menemui penonton.

Maklum balas positif yang diterima membuatkan pelakon berdarah kacukan Inggeris-India ini gembira biarpun sudah lama tidak berlakon.

“Begitu lama saya tidak aktif dan apabila kembali saya terus ditawarkan berlakon drama. Mula-mula bimbang juga, namun bekerja dengan pelakon dan kru drama itu membuatkan saya gembira.

“Suasana kami bekerja tidak bosan tambahan pula bekerja dengan pengarah hebat seperti Khabir Bhatia membuatkan saya terasa seperti bukan sedang bekerja.

“Kadang-kadang apabila bosan berada di lokasi, kami melakukan video ‘dubsmash’ bersama-sama.

“Mungkin juga kerana ia drama komedi membuatkan kami perlu sentiasa ceria dan ketawa dan ia menguatkan lagi keserasian kami berempat,” katanya.

Menerusi drama berkenaan, Amelia memegang watak sebagai Sabrina anak kepada Elvira lakonan Marsha dan Eddy (Keith) yang lahir daripada baka puntianak dan harimau jadian.

Pelbagai perkara lucu dan menarik yang mereka lalui sepanjang hidup berjiran dengan manusia.

Tidak kekok berlakon sebagai hantu kerana sebelum ini pernah berpeluang berlakon kisah seram, Amelia mengakui mekap yang lama untuk menjayakan babak bertukar wajah kepada harimau antara cabaran utama menerusi drama berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjaya seninya, Amelia yang baru saja berkahwin Ogos lalu berkata, dia akan kembali aktif seperti biasa, namun buat sementara waktu ini dia akan memberi fokus terhadap pengacaraan saja.

“Drama Keluarga Pontimau sudah tamat penggambarannya dan sekarang ini saya berehat sementara daripada lakonan.

“Kalau boleh saya mahu diberi peluang untuk berlakon drama lagi kerana sebelum ini saya banyak terbabit dengan pengacaraan dan teater.

“Kali terakhir saya berlakon dalam filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad. Pastinya saya rindu sekali untuk terus berlakon,” katanya yang mengacarakan program Go Asean dan pengacara untuk Astro Supersports.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:02 AM