CIKI harap watak Rumana meresap dalam dirinya.
CIKI harap watak Rumana meresap dalam dirinya.
Syanty Octavia Amry


Selesa melakonkan watak Rumana dalam drama bersiri Tukang Bubur Naik Haji, pelakon Indonesia, Citra Kirana, 22, berharap keperibadian yang baik pada watak Rumana itu dapat menjadikan dirinya seorang lebih tenang dan sabar.

Ini kerana realitinya Citra atau mesra disapa Ciki ini mengakui dirinya seorang yang cepat ‘moody’ apatah lagi ketika penat bekerja.

Baginya, sikap itu sukar dielakkan sehingga kadang-kadang boleh membuatkan orang lain terasa.

“Saya akui watak Rumana adalah wanita yang sempurna. Hakikatnya saya hanya manusia biasa yang masih banyak kekurangan perlu diperbaiki.

“Walaupun Rumana itu seperti santai dan mudah, untuk saya mengikutinya di dalam kehidupan seharian ia agak sukar. Malah dalam drama ini Rumana seorang yang cukup pendidikan agama dan turut mengajar orang lain sedangkan saya sendiri masih dalam proses pembelajaran untuk menjadi wanita lebih baik,” katanya yang mula berlakon sejak berusia 13 tahun.

Ciki yang pernah memenangi beberapa anugerah dalam kategori Aktris Terfavorit dan Aktris Sinetron Terpuji mengakui watak seperti itu pernah dilakonkan namun ini adalah yang terpanjang serta mengambil masa lama.

Tukang Bubur Naik Haji kini ditayangkan di Indopek saluran Astro Bintang 141. Sudah memasuki lebih 100 episod di sini, namun di Indonesia ia menjangkau ke episod 2,100.

Dalam pada itu, bagi Ciki, itu antara cabaran yang perlu dia lalui sepanjang menjalani penggambaran drama berkenaan.

Drama bersiri terpanjang di Indonesia itu mula dilakonkan Ciki ketika dia berusia 18 tahun hingga sekarang.

Mengakui tempoh itu kadangkala membuatkan dia bosan, Ciki akan mengambil peluang keluar bersantai bersama teman dan keluarga.

“Saya akui apabila berlakon sesebuah drama itu terlalu lama pasti akan timbul rasa bosan.

“Namun, saya tidak boleh putus asa kerana selagi permintaan penonton mahu supaya terus berada di dalam drama ini saya perlu kuat.

“Sekali-sekala waktu berehat saya akan menghabiskan masa melakukan pelbagai aktiviti dengan kawan dan ahli keluarga.

“Dengan cara itu, saya dapat emosi yang baru semula. Lagipun, sudah lama bersama-sama dengan produksi ini terasa kami bagaikan satu keluarga,” katanya.

Berikutan masih terikat dengan jadual drama ini, Ciki hanya berkesempatan menerima tawaran berlakon telefilem namun tidak banyak.

“Setakat ini saya belum sempat berlakon filem. Permintaan penonton yang masih mahukan drama ini ditayangkan menyebabkan saya lebih fokus dengan cerita ini saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 4:54 AM