Maximus  berharap Air Selangor akan meneruskan kecemerlangan pengurusan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. FOTO Farizul Hafiz Awang (gambar fail)
Maximus berharap Air Selangor akan meneruskan kecemerlangan pengurusan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. FOTO Farizul Hafiz Awang (gambar fail)
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Fasa pertama penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berjaya diselesaikan selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) secara rasmi mengambil alih pengurusan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada 15 Oktober lalu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, dengan selesainya fasa pertama itu, beliau berharap Air Selangor akan meneruskan kecemerlangan pengurusan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya seperti yang dilaksanakan ketika di bawah PNSB.

"Saya yakin Air Selangor mengambil langkah untuk memastikan kelancaran bekalan air kepada orang awam ketika peralihan dalam pengurusan SYABAS dan PNSB.

"Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam proses pengambilalihan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berharap Air Selangor akan meneruskan fasa berikutnya yang membabitkan pengambilalihan dua lagi syarikat konsesi.

"Ia membabitkan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) supaya perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dapat diuruskan secara holistik seperti yang dihasratkan kerajaan Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 7:33 PM