Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Keputusan melaksanakan penyenggaraan berjadual di Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong, Kuala Selangor diputuskan secara kolektif antara Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bersama pihak berkepentingan yang berkaitan.

Ketua Setiausaha Setiausaha KeTTHA Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata, keputusan dibuat bersama Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Tenaga (ST), Pengurusan Air Negeri Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 31 Oktober lalu.

"Keputusan diambil dengan mengambil kira keperluan kritikal TNB untuk menjalankan senggaraan pencegahan dan pemasangan sistem perlindungan arka di PMU Bukit Badong.

"Tarikh hari ini diputuskan kerana mengambil kira pelbagai faktor termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang berlangsung sebelum ini selain penggunaan air per kapita pada hujung tahun (musim tengkujuh) biasanya lebih rendah berbanding bulan lain," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, memandangkan bekalan air membabitkan lebih 3.8 juta pengguna, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memohon kepada SPAN supaya pemulihan berjadual bekalan air dilakukan dalam tempoh empat hari mengikut dua zon berasaskan konsep agihan dua hari ada air dan dua hari tiada air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 3:52 PM