Oleh Siraj Mohd Zaini


Subang Jaya: Lelaki berusia 41 tahun ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di bahagian depan tempat duduk penumpang kereta di Jalan SS15/2A, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, abang mangsa menerima panggilan telefon daripada rakan adiknya yang mengatakan sekumpulan lelaki telah membawa lari adiknya di SS15.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahya Ramli berkata, mangsa dipercayai dilarikan dengan kereta milik rakannya itu.

Menurutnya, polis yang menjumpai kereta mangsa kira-kira sejam setengah kemudian mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

"Rakan mangsa turut ditikam dan kini dirawat di Sime Darby Medical Centre SS12 Subang Jaya.

"Polis turut menemui pisau berwarna hitam di dalam kenderaan dan mayat yang mengalami kecederaan di badan serta kepala dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, motif pembunuhan masih belum dapat dipastikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 2:50 PM