TARIKAN istimewa resipi komposer popular Ajai kini dapat sambutan hangat warga Pulau Pinang.
TARIKAN istimewa resipi komposer popular Ajai kini dapat sambutan hangat warga Pulau Pinang.
Oleh Abie Abdullah


Asam pedas biasanya popular dalam kalangan orang Melaka dan Johor walaupun seluruh negara sudah ada versi resipi tersendiri. Di beberapa negeri, ia turut dikenali sebagai asam rebus yang juga dimasak dengan pelbagai cara.

Pulau Pinang misalnya yang terkenal dengan nasi kandar kini ‘diserang’ Asam Pedas Hirup yang dibawa oleh komposer dan penyanyi popular, Ajai. Kata Ajai, dia mahu meneroka pasaran utara dengan resipi orang selatan.

Biarpun baru bermula awal Ogos lalu, sambutan diterima sangat menggalakkan dan dia sendiri seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dilakukannya.

Kedai Asam Pedas Hirup bertempat di Ivory Plaza, Bukit Gambier (belakang kampus induk Universiti Sains Malaysia). Berdasarkan sambutan di luar jangkaan itu, Ajai kini berkira-kira untuk membuka satu lagi cawangan di pusat bandar Georgetown.

“Tak sangka orang Pulau Pinang suka dengan resipi asam pedas saya. Untungnya saya di sini sebab mendapat bekalan ikan segar setiap hari daripada nelayan,” katanya yang menyediakan asam pedas ikan merah dan kembung bersama set telur dadar, kobister (kubis goreng) serta sambal belacan.

Set asam pedas hirup ikan merah dijual pada harga RM15, manakala ikan kembung RM9. Bagaimanapun Ajai memberi diskaun khas untuk pelajar dengan hanya menunjukkan kad matrik. Set untuk pelajar bersama minuman berharga RM12 untuk asam pedas hirup ikan merah dan set ikan kembung pula pada harga RM9.90.

“Saya pernah jadi pelajar, saya tahu bajet mereka. Tak apalah, ini rezeki saya untuk mereka,” katanya yang turut menyediakan satu lagi masakan istimewa iaitu nasi goreng mualaf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 12:25 PM