PELBAGAI jenis asam pedas penuhi cita rasa pelanggan sejak 13 tahun lalu.
PELBAGAI jenis asam pedas penuhi cita rasa pelanggan sejak 13 tahun lalu.
Aniza Zainudin

Sebut saja menu asam pedas, pasti terus terbayang keenakan sajian popular di negeri Hang Tuah itu.

Kelazatan asam pedas bukan sekadar diukur daripada kesegaran sumber protein digunakan, bahkan tekstur kuah kemerah-merahan yang pekat dan kombinasi rasa masam dan pedas sempurna sudah cukup mengikat selera individu.

Lebih menyelerakan, apabila asam pedas dihidangkan bersama nasi putih panas, telur masin dan sambal belacan.

Restoran Asam Pedas Sejati Melaka, yang beroperasi di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur, menawarkan menu tradisional asli turun-temurun ini tanpa berubah rasa sejak 13 tahun lalu.

Pengusahanya, Amiruddin Abd Karim berkata, restoran diasaskan ibu bapanya menyajikan juadah asam pedas resipi keluarga yang sememangnya berasal dari Melaka.

“Kami menghidangkan pelbagai jenis asam pedas termasuk ikan merah, jenahak, tenggiri, pari dan kembung. Paling popular, pastinya ikan pari dan merah.

“Istimewanya, kami menyediakan hidangan asam pedas panas yang segar. Kami memberi kebebasan dan pilihan kepada pelanggan untuk memilih jenis dan saiz ikan yang diingini.

“Selepas itu, kami akan memasaknya di dalam periuk tanah bersama kuah asam pedas yang disediakan lebih awal hingga masak.

“Melalui cara ini, pelanggan lebih berpuas hati untuk menikmati juadah mereka,” katanya ketika ditemui.

RESIPI turun-temurun.
RESIPI turun-temurun.

Bagi memelihara kualiti dan cita rasa asam pedas yang sama, setiap hari Amiruddin akan menyediakan pes asam pedas buatan sendiri menggunakan cili kering dikisar, asam jawa, bawang merah dan putih serta kunyit segar.

Jelasnya, cili kering dikisar dimasak sekurang-kurangnya satu hingga dua jam bagi memastikan ia benar-benar masak dan mengelakkan risiko sakit perut.

“Setiap hari, restoran ini menyediakan kuah asam pedas dengan kapasiti 80 hingga 160 orang. Apabila kami memasak kuah asam pedas lebih awal, kami dapat mengurangkan masa menunggu, namun kualiti tetap terjaga.

“Berdasarkan maklum balas daripada pelanggan yang kebanyakannya pelanggan tetap sejak mula kami beroperasi, cita rasa asam pedas di sini tidak pernah berubah.

“Selain itu, mereka menyenangi konsep pilih dan masak yang diperkenalkan kerana ikan sentiasa segar dan bekalan diambil dengan kekerapan dua hari sekali.

“Menu asam pedas ini turut didatangkan bersama ulaman, telur masin dan sambal belacan. Kami turut menawarkan telur dadar, ikan tenggiri jeruk, ayam kampung serta burung puyuh,” katanya.

Beroperasi setiap hari kecuali Jumaat, restoran berkapasiti 50 orang ini sering menjadi tumpuan sepanjang Ramadan lalu.

MENU tambahan.
MENU tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 3:42 AM