IKAN goreng berlada cili padi menaikkan selera.
IKAN goreng berlada cili padi menaikkan selera.
HIDANGAN asam pedas tulang punyai keunikan tersendiri.
HIDANGAN asam pedas tulang punyai keunikan tersendiri.
ASAM pedas ikan kembung antara yang digemari pelanggan di Warung Mesra Mak Na & Pak Abu.
ASAM pedas ikan kembung antara yang digemari pelanggan di Warung Mesra Mak Na & Pak Abu.
MAK Nah menunjukkan antara hidangan yang popular diwarungnya.
MAK Nah menunjukkan antara hidangan yang popular diwarungnya.
Oleh Suliati Asri


Menyengat! Itu saja yang mampu diungkapkan saat selesai menikmati hidangan asam pedas cukup popular di Pengkalan Balak, Melaka, ini.

Keempukan daging yang sebati dengan kuah asam pedas yang enak itu cukup menyelerakan sehingga tidak sedar lauk sudah acap kali ditambah.

Kedinginan air soda bandung yang dihirup selepas menjamu selera, ditambah tiupan angin laut sepoi-sepoi bahasa melengkapkan hidangan makan tengah hari yang cukup menyelerakan ini.

Itulah yang dirasai penulis ketika berkunjung ke Warung Mesra Mak Nah & Pak Abu yang terletak kira-kira 133 kilometer dari Kuala Lumpur.

Popular dengan menu asam pedas pelbagai jenis ikan, daging dan tetel serta tulang lembu, warung yang diusahakan sejak 25 tahun ini mempunyai pelanggan tetap sendiri.

Mana tidaknya, saat menjamu selera di situ, ramai pelanggan yang datang dari pelbagai tempat singgah untuk menikmati hidangan turun-temurun ini.

Lokasinya di tepi pantai Pangkalan Balak, yang juga destinasi percutian menarik di Melaka turut membuatkan Warung Mesra Mak Nah & Pak Abu dikunjungi ramai.

Biasanya, menu asam pedas membabitkan pelbagai jenis ikan. Namun, berlainan di sini.

Pemiliknya Asnah Asman, 50, atau lebih mesra dengan panggilan Mak Nah berkata, asam pedas antara menu wajib dimasak untuk hidangan makan tengah hari.

“Setiap hari, hidangan asam pedas wajib dimasak tetapi bahan utamanya akan silih berganti dan mengikut gerak hati saya mahu masak lauk apa hari itu.

“Jadi, kalau bukan asam pedas ikan, saya akan masak asam pedas daging tetel atau tulang yang mempunyai peminat tersendiri,” katanya.

Mulai memasak asam pedas sejak berusia 14 tahun selepas belajar daripada neneknya, kata Mak Nah, tiada rahsia atau bahan istimewa dicampurkan dalam masakannya kecuali bahan asas biasa untuk memasak juadah itu.

Namun, katanya, olahan resipi yang bersesuaian dengan cita rasa semasa menghasilkan hidangan asam pedas yang digemari ramai.

“Tiada bahan istimewa digunakan melainkan cili kering, bawang merah, bawang putih dan halia.

“Tapi, belacan dan semua bahan asas ini dikisar dan digoreng sehingga garing untuk memberikan rasa yang sedikit berbeza,” katanya.

Penambahan daun limau kunci kepada keenakan asam pedas Mak Nah selain menambah aroma dengan baunya yang wangi.

Berkongsi cara memasak asam pedas tulang dan daging, kata Mak Nah, bahan utama itu tidak perlu direbus secara berasingan dengan bahan masakan lain.

“Untuk asam pedas tulang dan daging, Mak Nah memasaknya seperti biasa tapi mengambil masa yang lama sedikit.

“Mak Nah akan biarkan tulang dan daging lembut dalam rebusan bersama bahan yang sudah digoreng garing supaya ia sebati. Rasa daging dan tulang juga akan lebih sedap,” katanya.

Selain asam pedas, menu lain yang popular di warung ini ialah udang masak lemak, ikan goreng berlada cili padi dan banyak lagi.

Lebih menarik, Mak Nah juga boleh memasak apa juga hidangan yang diingini pelanggan tetapi perlu membuat tempahan dahulu.

Selain hidangan makan tengah hari, rojak buah serta rojak kuih iaitu campuran campuran cucur udang, keropok lekor, tauhu goreng dan dimakan bersama sos yang dibuat sendiri antara hidangan petang yang tidak perlu dilepaskan saat berada di Warung Mesra Mak Nah & Pak Abu.

Hidangan secawan teh tarik yang lemak berkrim bersama hidangan pisang goreng panas, sotong goreng dan kepak ayam ditambah dengan kelembutan bayu laut yang menyapa pastinya memberikan keunikan tersendiri saat menjamu selera.

Dibuka setiap hari bermula 7 pagi hingga 10 malam, warung ini turut menyediakan perkhidmatan katering dan live band.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 10:22 AM