PEGUAM pemerhati (kanan) bersama ahli keluarga mangsa meninggalkan mahkamah. FOTO Aizuddin Saad
PEGUAM pemerhati (kanan) bersama ahli keluarga mangsa meninggalkan mahkamah. FOTO Aizuddin Saad
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang juga ahli perniagaan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Jalan Duta, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan kekerasan niat mencabul dan mengaibkan kehormatan anak kandungnya sejak tahun lalu.

Tertuduh berusia 49 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 16 Julai tahun lalu antara 1 hingga 2 pagi di ruang tamu sebuah rumah di Sentul, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 9 Januari lalu di hadapan bilik tidur di sebuah rumah di Sentul, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa dengan sengaja mengeluarkan perkataan yang mengaibkan kehormatan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan pada 17 Julai tahun lalu di dalam kereta Mercedes di antara 12.45 tengah malam hingga 1 pagi.

Untuk itu, dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Josiendra Abu Senin manakala tertuduh diwakili peguam, M Puravalen.

Mohd Josiendra memohon mahkamah supaya membenarkan jaminan RM100,000 kerana mengambil kira status tertuduh sebagai ahli perniagaan berjaya yang mempunyai pasar mini di sekitar Lembah Klang dan bagi memastikan kehadirannya ke mahkamah sepanjang tempoh perbicaraan

Mohd Josiendra turut memohon mahkamah supaya meminta tertuduh menyerahkan pasport dan larangan mengganggu saksi dan mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.

Puravalen pula memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama dengan polis yang menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

Wong kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 terhadap kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 27 April depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan perbuatan tertuduh terbongkar apabila anak perempuannya nekad membuat laporan polis pada 14 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 2:44 PM