Mohamed Farid Noh


MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru, hari ini, menetapkan 7 September depan untuk pengurusan kes selebriti dan deejay radio, Patrick Teoh yang membuat dan memulakan penghantaran komen jelik di laman sosial terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan institusi diraja Johor, Mei lalu.

Hakim Faiz Dziyauddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan memaklumkan kepada mahkamah mahu merujuk kes berkenaan ke mahkamah tinggi.

Ia berikutan pihak pembelaan berpendapat terdapat isu Perlembagaan yang perlu dijelaskan sebelum kes berkenaan diteruskan untuk perbicaraan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pembelaan yang memohon supaya penjamin Teoh iaitu isterinya, Chan Hui Min, 52, tidak perlu hadir ke prosiding kes seterusnya berikutan perlu menguruskan anak mereka yang masih bersekolah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Wong Hong Yi dan M Puravalen.

Terdahulu, Teoh yang nama sebenarnya, Teoh Kang Yong, 73, hadir ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru dengan bertongkat dan berkemeja putih ditemani isterinya, jam 8.15 pagi.

Pada 14 Jun lalu, Teoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menghina Tunku Mahkota Johor dan institusi diraja Johor.

Mengikut pertuduhan, Teoh didakwa menggunakan Facebook Page 'Patrick Teoh' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa mengikut subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

PATRICK Teoh hadir ke mahkamah sesyen. FOTO  Mohd Yusni Ariffin
PATRICK Teoh hadir ke mahkamah sesyen. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 11:56 AM