Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Faris Fuad


Shah Alam: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi membatalkan dua tuduhan menghasut dihadapi Menteri Besar Kedah itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, mengesahkan perkembangan itu ketika sebutan kes di Mahkamah Tinggi, di sini, tadi.

"Kami sudah meneliti representasi dikemuka pihak pembelaan Muhammad Sanusi.

"Jawapannya sudah diberikan bahawa representasi ditolak menerusi surat bertarikh 3 Mei lalu," katanya.

Peguam bela Muhammad Sanusi, Awang Armadajaya Awang Mahmud, mengambil maklum mengenai perkara berkenaan.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin, kemudian menetapkan perbicaraan kes itu selama 10 hari iaitu pada 22, 23, 29 dan 30 Julai serta 5, 6, 9, 12, 13 dan 23 Ogos ini.

Pada 29 Februari lalu, Muhammad Sanusi mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua tuduhan menyebut perkataan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) merangkap Ketua Jabatan Pilihan Raya PAS didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan itu dibacakan semula selepas kes itu dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini pada 1 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 12:06 PM