Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO NSTP.
Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO NSTP.
BERNAMA

Shah Alam: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bagi membatalkan dua tuduhan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud ketika prosiding hari ini berkata pihak pendakwaan telah memaklumkan keputusan itu kepada pembelaan pada 3 Mei lepas.

Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi, 50, kemudiannya mengesahkan perkara tersebut.

Dengan keputusan itu tarikh perbicaraan ditetapkan pada 22, 23, 29 dan 30 Julai, serta 5, 6, 9, 12, 13, dan 23 Ogos ini.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin turut membenarkan permohonan perintah larangan bersuara yang dikemukakan pihak pembelaan, supaya mana-mana individu tidak boleh memberi komen mengenai merit kes berkenaan sepanjang perbicaraan dan perkara itu tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan senarai saksi dan pernyataan saksi pendakwaan untuk diserahkan dalam masa 14 hari kepada pihak pembelaan, sebelum perbicaraan pada 22 Julai depan.

Pada prosiding sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri, Kedah itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah, ketika kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan semula selepas kes terbabit dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini pada 1 Feb.

Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam 11 Julai 2023.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

TAG: mahkamah, Muhammad Sanusi, menghasut, menteri besar Selangor, representasi, tolak

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 3:17 PM