Orang Utan, Bobina (kiri) dan Citrawan (kanan) akan dihantar balik ke Indonesia esok. - Foto SADDAM YUSOFF
Orang Utan, Bobina (kiri) dan Citrawan (kanan) akan dihantar balik ke Indonesia esok. - Foto SADDAM YUSOFF
Oleh Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Dua Orang Utan, Bobina dan Citrawan yang berjaya di selamatkan selepas diseludup dari Medan, Indonesia, Julai lalu, akan dihantar balik ke negara asalnya esok.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia Abdul Kadir Abu Hashim berkata, penghantaran ini hasil kerjasama dengan Balai Besar Konservasi Sumber Daya Alam Sumatera Utara (SOCP) dan MAS Kargo.

Menurutnya, urusan penghantaran balik Orang Utan spesis Pongo Abelii itu berlandaskan peruntukan mengikut Artikel 8 CITES dan Akta Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesis Terancam 2008 (Akta 686).

"Empat individu yang ditahan kini dalam proses pendakwaan di mahkamah untuk dituduh mengikut Seksyen 69(1) dan Seksyen 86 (1) (f) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

"Jabatan Perhilitan serius dalam usaha membanteras jenayah penyeludupan hidupan liar antarabangsa termasuk dengan kerjasama INTERPOL dalam penyaluran dan perkongsian maklumat antara negara," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyeludupan hidupan liar boleh menyalurkan kepada Jabatan Perhilitan di talian 1-300-80-1010 atau 1-800-88-5151.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 5:08 PM