SEBELAS burung kakak tua yang dirampas ketika pemeriksaan terhadap kenderaan warga Singapura di laluan masuk Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO Ihsan Perhilitan Johor.
SEBELAS burung kakak tua yang dirampas ketika pemeriksaan terhadap kenderaan warga Singapura di laluan masuk Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO Ihsan Perhilitan Johor.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor memandang serius kes penyeludupan burung kakak tua yang juga spesies dilindungi.

Pengarahnya Aminuddin Jamin berkata, dalam kejadian terbaharu pada 31 Mei lalu pihaknya merampas 11 burung kakak tua yang diseludup dalam kenderaan milik warga Singapura di laluan pemeriksaan masuk Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Katanya, tindakan tegas diambil dan lelaki itu dijatuhi hukuman penjara tujuh hari bermula tarikh ditangkap oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 7 Jun lalu.

"Dia juga didenda RM80,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut seksyen 60 (1)(a) dan seksyen 68 (1)(a) di dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (pindaan) 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aminuddin berkata, dalam kejadian itu, pihaknya merampas empat spesies Ara SPP, tiga jenis Blue & Gold Macaw (Ara ararauna), seekor Yellow-headed Amazon (Amazona oratrix) dan tiga Scarlet Macaw (Ara Macao).

"Turut disita, sepuluh kotak kayu, sebuah sangkar yang menempatkan burung, kenderaan, telefon bimbit dan tempat bertengek burung," katanya.

Beliau meminta orang ramai membantu Perhilitan menjaga dan memulihara khazanah biodiversiti negara serta membasmi jenayah hidupan liar dengan berkongsi sebarang maklumat berkaitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di portal www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 5:42 PM