PEGAWAI Perhilitan menjalankan pemeriksaan terhadap burung murai batu yang dirampas.
PEGAWAI Perhilitan menjalankan pemeriksaan terhadap burung murai batu yang dirampas.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohamad Fais Jusoh


Kuala Lumpur: Tindakan demi tindakan penguatkuasaan diambil namun beribu ekor burung bersuara 'emas' Malaysia tetap bolos dan diseludup keluar untuk pasaran gelap Indonesia.

Aktiviti penyeludupan burung murai batu seolah-olah sukar dikekang apabila hampir setiap minggu spesies burung tempatan ini menyeberang Selat Melaka menuju ke Sumatera, Indonesia.

Setiap seekor burung ini yang mencecah harga sehingga RM3,000 seekor kerap dijadikan pertaruhan pertandingan suara burung di negara jiran, sekali gus menyukarkan aktiviti jenayah penyeludupan antarabangsa ini dibanteras 100 peratus.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, keistimewaan dimiliki burung kelahiran Malaysia ini antara faktor haiwan liar dilindungi itu paling banyak diseludup dan diburu sindiket rentas sempadan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dan rampasan dilakukan setiap minggu namun spesies burung popular ini masih cuba diseludup ke negara jiran susulan permintaan tinggi peminat burung serta keuntungan lumayan bakal diperolehi.

"Selain burung murai batu, spesies lain seperti burung bayan nuri, burung bayan puling dan burung serindit turut menjadi sasaran penyeludupan," katanya.

Terbaru, pihaknya menyerbu premis disyaki stor transit penyeludupan hidupan liar ke negara jiran di daerah Kota Tinggi, Johor kelmarin.

"Serbuan membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan operasi Op Benteng. Seorang lelaki tempatan diberkas dan 17 bakul plastik hitam berisi 228 burung murai batu dirampas.

"Semua burung murai batu dipercayai menunggu masa dipunggah ke dalam bot sebelum diseludup ke Indonesia," katanya.

Menurutnya, suspek ditahan atas kesalahan menyimpan hidupan liar tanpa dokumen penyimpanan yang sah dari Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Dalam kes berasingan, 9 Januari lalu, Perhilitan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pos Tanjung Sepang, Pengerang mematahkan cubaan menyeludup 548 burung murai batu ke negara jiran.

"Melalui rondaan dilakukan, ATM menemui 49 bakul plastik mengandungi 548 burung murai batu di kawasan pesisir Pantai Sungai Rengit, Johor.

"Semua bakul diletakkan di kawasan pantai dan tidak sempat diseludup keluar ke negara jiran berikutan penyeludup sempat melarikan diri," katanya.

Dalam satu lagi kes berasingan, anggota Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) berjaya merampas dan mematahkan cubaan menyeludup keluar 660 burung murai batu di kawasan Pantai Sungai Rengit, Kota Tinggi, Johor, pada 8 Januari lalu.

Semua burung itu yang diisi di dalam 66 bakul dan dianggarkan bernilai RM 363,000 dipercayai cuba diseludup keluar menggunakan bot pancung.

"Usaha menyeludup keluar burung murai batu dikesan aktif dilakukan melalui perairan Johor apabila seorang warganegara Malaysia ditangkap dua pegawai dan anggota PPM di Pengerang, Kota Tinggi, Johor pada 11 Disember lalu.

"Hasil pemeriksaan terhadap kereta dipandu menemui 25 bakul hitam mengandungi 260 burung murai batu.

"Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama dan sokongan pihak PDRM dan ATM dalam membendung jenayah hidupan liar.

"Jabatan Perhilitan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah hidupan liar
ke Talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151," katanya.

ANTARA rampasan berterusan sejak Disember lalu membabitkan ribuan ekor burung murai batu ke Indonesia.
ANTARA rampasan berterusan sejak Disember lalu membabitkan ribuan ekor burung murai batu ke Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 6:40 AM