BURUNG enggang yang dikurung dalam sangkar.
BURUNG enggang yang dikurung dalam sangkar.
DUA suspek lelaki tempatan disyaki berperanan sebagai penghantar ditahan bersama lapan burung enggang di KLIA.
DUA suspek lelaki tempatan disyaki berperanan sebagai penghantar ditahan bersama lapan burung enggang di KLIA.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Nilainya hampir menyamai emas 916 apabila seekor burung enggang tempatan (bucerotidae) boleh mencapai harga RM100,000 hingga RM130,000 seekor di pasaran gelap Eropah.

Harga tinggi diletakkan bagi burung enggang menyebabkan spesies hidupan liar dilindungi ini cuba diseludup keluar negara walaupun ketika dunia masih dilanda pandemik covid-19.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, aktiviti jenayah hidupan liar itu dibuktikan apabila pihaknya menggagalkan cubaan menyeludup lapan burung enggang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

Menurutnya, dalam operasi dilakukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan itu lapan burung enggang dikurung dalam sangkar berjaya diselamatkan.

"Anggota Perhilitan menemui semua unggas disimpan di Animal Hotel, Mas Kargo, KLIA, Sepang.

"Berdasarkan siasatan awal, kami percaya semua burung mahu diseludup keluar ke Bangladesh yang dijadikan negara transit.

PELBAGAI spesies burung macaw yang dirampas anggota Perhilitan di sebuah kediaman di Sungai Siput, Perak.
PELBAGAI spesies burung macaw yang dirampas anggota Perhilitan di sebuah kediaman di Sungai Siput, Perak.

"Burung enggang dihantar ke Eropah atau Amerika Syarikat. Mengikut maklumat diperoleh, spesies burung ini ditawarkan pada harga tinggi di pasaran gelap hingga mencecah ratusan ribu ringgit seekor," katanya.

Kadir berkata, susulan penemuan semua burung enggang itu, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 34 tahun disyaki berperanan sebagai penghantar.

"Kedua-dua mereka gagal mempamerkan dokumen sah daripada Perhilitan bagi menyimpan semua spesies burung enggang itu.

"Kami masih menyiasat pemilik sebenar burung enggang itu dan ejen yang menguruskan penghantaran barangan itu ke luar negara," katanya.

Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

"Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

PELBAGAI spesies burung macaw yang dirampas anggota Perhilitan di sebuah kediaman di Sungai Siput, Perak.
PELBAGAI spesies burung macaw yang dirampas anggota Perhilitan di sebuah kediaman di Sungai Siput, Perak.

Konon orang tengah simpan 7 burung macaw

Putrajaya: Beri alasan hanya berperanan sebagai orang tengah. Itu jawapan ringkas diberi seorang lelaki berusia 30-an yang ditahan selepas menyimpan tujuh burung macaw berasal dari Amerika Selatan.

Suspek yang menetap di Sungai Siput, Perak dikesan menyimpan burung itu yang dianggarkan boleh mencecah harga ratusan ribu ringgit.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, sepasukan 12 kakitangan Unit Penguat Kuasa Perhilitan Perak melakukan pemeriksaan mengejut di kediaman suspek jam 12.45 tengah hari semalam.

Menurutnya, pemeriksaan di kediaman itu menemui tujuh burung macaw dari spesies scarlet macaw, hyacinth macaw, blue and gold macaw, catalina macaw dan harlequin macaw.

"Turut ditemui tiga murai batu disimpan di kediaman berkenaan.

"Suspek yang disoal siasat mendakwa hanya bertindak sebagai orang tengah untuk menyerahkan semua burung itu kepada pembeli.

"Siasatan lanjut mendapati lelaki itu tiada lesen Perhilitan untuk menyimpan haiwan itu," katanya.

Kadir berkata, semua burung dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dirampas dan dibawa Pejabat Perhilitan Sungai Siput, Perak untuk tindakan lanjut.

"Satu laporan polis dibuat di balai polis Sungai Siput dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 7:30 AM