Kelana Jaya: Skuad Harimau Malaya bakal beraksi menentang Syria dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam hari ini tanpa kelibat perancang tengah Mohd Safiq Rahim yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut kanan.

Malah lebih membimbangkan jurulatih Dollah Salleh apabila beliau kemungkinan terpaksa menggugurkan Safiq daripada senarai 22 pemain bagi kempen Piala AFF di Singapura pada 23 November ini jika pemain itu gagal pulih dalam masa terdekat.

Pengendali itu berkata, walaupun mempunyai beberapa pemain lain yang boleh mengisi kekosongan itu seperti Mohd Badhri Radzi, Baddrol Bakhtiar, Hafiz Kamal dan Shukor Adan namun ketiadaan Safiq, ketua pasukan ketika Malaysia menjuarai Piala AFF 2010 tetap dirasai.

“Semua pemain boleh bermain esok (hari ini) kecuali Safiq dan R Gopinathan yang mengalami kecederaan. Memang tidak ada masalah untuk mencari pemain pengganti cuma kita kehilangan pemain yang berpengalaman seperti Safiq serta kepakarannya dalam sepakan percuma,” katanya pada sidang media perlawanan dengan Syria semalam.

Mengulas perlawanan dengan Syria itu, Dollah yang melantik pemain senior Shukor Adan sebagai kapten yakin anak buahnya boleh kembali beraksi di tahap terbaik meskipun mengakui masih tidak berpuas hati dengan prestasi pemain sepanjang latihan pusat lebih seminggu lalu.

“Saya yakin pemain akan memberikan aksi terbaik walaupun ada pemain keletihan dalam latihan kerana baru selesai kempen Piala Malaysia. Dalam perlawanan sebenar pemain akan berikan aksi 100 peratus.

“Kalau ikut ranking Syria (151 dunia) dan Malaysia (156) tidak terlalu jauh dan dengan bermain di gelanggang sendiri, saya yakin kita boleh menang,” katanya.

Sementara itu Safiq yang ditemui pada sesi latihan semalam mengakui masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan berharap akan dapat beraksi pada perlawanan terakhir dengan Vietnam Ahad ini sebelum kempen Piala AFF di Singapura bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:18 AM