Oleh Aziman Rosdi

Hanoi: Selepas ‘diperam’ empat perlawanan, pemain tengah Mohd Badhri Radzi dijangka bakal diturunkan jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh bagi perlawanan getir separuh akhir kedua Piala AFF 2014 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh esok.

Tonggak utama Kelantan berusia 32 tahun itu tidak pernah merasai walau seminit aksi di kejohanan itu apabila Dollah lebih berminat menggandingkan Safiq Rahim bersama Gary Steven Robbat dan sebelum itu Shukor Adan.

Namun dengan situasi Harimau Malaya yang terdesak memburu kemenangan selepas kekalahan 1-2 pada pertembungan pertama di Shah Alam Ahad lalu, bisa Badhri atau turut dikenali sebagai Piya mungkin ditagih.

Ini berikutan aksi longgar bahagian tengah antara Safiq dan Hafiz Kamal dalam perlawanan itu serta Gary yang kurang berkesan apabila dimasukkan sebagai gantian.

“Terpulang kepada jurulatih membuat keputusan, tapi jika diberi peluang, ini aksi pertama saya dalam Piala AFF.

“Sebagai pemain sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik. Saya mahu membantu membuka ruang untuk bahagian serangan mencipta jaringan,” katanya selepas sesi latihan di padang latihan Stadium Nasional My Dinh semalam.

Antara faktor yang menyukarkan Badhri bergandingan bersama Safiq adalah kedua-duanya lebih gemar menyerang.

“Memang saya akui saya lebih banyak menyerang, tapi kalau saya digandingkan dengan Safiq, kami akan bersama-sama bertahan dan menyerang,” katanya.

Selain Badhri, Dollah dijangka membuat perubahan drastik dengan membawa masuk Indra Putra Mahayuddin bagi menggantikan Norshahrul Idlan Talaha selain mempunyai kembali Shukor Adan dan Mohd Amri Yahyah yang bebas daripada penggantungan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 6:25 AM