Paris: Albania layak ke kejohanan utama sulung mereka kelmarin apabila mereka menewaskan Armenia 3-0 bagi menempah tiket ke Euro 2016 di samping Romania, yang menang 3-0 ke atas Kepulauan Faroe.

Kekalahan di laman sendiri kepada Serbia Khamis lalu menyebabkan Albania memerlukan tiga mata di Yerevan bagi mengatasi Denmark sekali gus meraih tempat kedua Kumpulan I dan mereka menggunakan sepenuhnya peluang kedua itu.

Kamo Hovhannisyan tertampan ke jaring sendiri bagi membantu Albania mendahului selepas sembilan minit sebelum Berat Xhimshiti menjadikan kedudukan 2-0 pada pertengahan babak pertama.

Pemain gantian Armando Sadiku kemudian menambah gol ketiga 14 minit sebelum tamat sekali gus membantu skuad kendalian Gianni De Biasi mengesahkan tempat ke pusingan akhir di Perancis tahun depan.

Portugal yang sudah layak sebagai juara kumpulan, mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut pada pusingan kelayakan apabila mereka mengalahkan Serbia 2-1 di Belgrade.

Pelawat tampil tanpa Cristiano Ronaldo yang direhatkan namun mendahului selepas lima minit menerusi kapten Nani apabila bekas pemain sayap Manchester United itu menyempurnakan bola muntah sesudah rembatan deras Danny ditumbuk keluar Vladimir Stojkovic.

Serbia membalas menerusi Zoran Tosic pada minit ke-65 namun sepakan lencong Joao Moutinho membantu Portugal meraih tiga mata ketika tuan rumah beraksi sembilan pemain apabila Aleksandar Mitrovic dan Nemanja Matic dibuang padang.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:24 AM