PEMAIN Serbia kecewa selepas tersingkir daripada Piala Dunia. FOTO AFP
PEMAIN Serbia kecewa selepas tersingkir daripada Piala Dunia. FOTO AFP
Reuters

Doha: Pemain separuh cergas, pertahanan yang mudah bocor dan bendera kontroversi yang menimbulkan ketegangan diplomatik mengiringi penyingkiran Serbia dalam peringkat kumpulan di Piala Dunia, membuktikan bahawa kebangkitan mereka awal tahun ini hanyalah harapan palsu.

Di bawah bimbingan jurulatih, Dragan Stojkovic, Serbia seakan bersedia untuk memberi tentangan sengit dalam Kumpulan G selepas memperoleh kelayakan automatik dengan memaksa Portugal melalui saingan playoff untuk layak ke Piala Dunia.

Dengan persembahan memberangsangkan dalam saingan Liga Negara-Negara awal tahun ini, Serbia dijangka akhirnya menamatkan kemarau terkandas di peringkat kumpulan Piala Dunia selepas tidak pernah mara ke peringkat kalah mati sejak pecahnya Yugoslavia.

Walaupun mempunyai dua penyerang berpotensi dalam Aleksandar Mitrovic dan Dusan Vlahovic, kedua-duanya berada dalam prestasi terbaik dalam liga masing-masing dengan Fulham dan Juventus, namun mereka hanya beraksi bersama pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Mitrovic menjaringkan sembilan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) namun kecederaan buku lali mengganggu persiapannya untuk ke kejohanan ini tatkala Serbia sangat memerlukan khidmatnya selepas Vlahovic tiba di Doha dalam bukan dalam keadaan 100 peratus bersedia.

"Kami datang ke sini dengan banyak masalah kecederaan dan ia menghimpit pemain utama kami. Ini amat sukar untuk diuruskan, sukar untuk mempunyai tahap prestasi yang tinggi di Piala Dunia," kata Stojkovic.

Apabila Mitrovic disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Brazil pada perlawanan pembukaan mereka, dia tidak menemui rentak dan hampir tidak menerima bantuan dalam kekalahan 0-2.

Ketika Serbia menjaringkan tiga gol menentang Cameroon, pertahanan mereka pula kelihatan rapuh dengan membenarkan Vincent Aboubakar melepasi perangkap ofsaid sebanyak dua kali dalam tempoh tiga minit tatkala perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 11:32 AM