EYZA rancak promosi single kedua, Cakerawala.
EYZA rancak promosi single kedua, Cakerawala.
Teks dan gambar Rudy Syareme Sheriffudin


Selepas Imaginasiku mendapat sambutan tahun lalu, Eyza Bahra kembali dengan single kedua berjudul Cakerawala.

Bernaung di bawah syarikat rakaman Life Records, bekas anggota kumpulan Salamuzik itu sudah setahun bergerak secara solo dan kini rancak mempromosikan single terbarunya.

Eyza atau nama sebenarnya, Nuraniza Bahra, 27, berkata, sejak Cakerawala ke udara di radio lebih dua bulan lalu, pelbagai komen positif diterima.

Lagu ciptaan komposer terkenal DJ Fuzz ini menceritakan soal kehidupan dan persahabatan malah kata Eyza, ia cukup dekat dengan hatinya.

“Alhamdulillah, impian mencipta nama sebagai artis solo dan bergerak lebih jauh menjadi kenyataan.

“Sepertimana Imaginasiku, single Cakerawala juga dapat sambutan memberansangkan dan Life Records kini rancak melakukan promosi di stesen radio seluruh negara,” katanya.

Eyza berkata, dia berterima kasih kepada DJ Fuzz, syarikat rakaman, media cetak dan elektronik yang menyokong usahanya selama ini.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ini tidak pernah kenal erti putus asa, berwawasan dan sentiasa berfikir di luar kotak.

“Sebagai anak seni, saya berusaha melakukan yang terbaik. Karya yang diketengahkan datang dari jiwa dan penuh keikhlasan.

“Kalau boleh saya mahu jadi penghibur serba boleh, dekat di hati peminat dan diiktiraf terbaik daripada yang terbaik,” katanya.

Menyanyikan lagu reggae, Eyza percaya masyarakat kian terbuka dengan genre itu, malah teruja apabila berpeluang berkolaborasi dengan Sissy Iman menerusi lagu ‘Entah Apa Rasa’ yang menjadi siualan anak muda.

“Terima kasih kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong dan menerima lagu saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 5:07 AM