SEBAHAGIAN daripada artis yang terbabit dalam Projek 1 Pensel.
SEBAHAGIAN daripada artis yang terbabit dalam Projek 1 Pensel.
Syafil Syazwan Jefri


Stesen radio bukan sahaja menjadi medium untuk berkongsi maklumat terkini serta hiburan semata-mata, bahkan turut menjadi landasan untuk mengajak masyarakat melalukan perkara positif, antaranya kerja amal.

Baru-baru ini, stesen radio THR Gegar melancarkan Projek 1 Pensel bagi membantu memudahkan pelajar dari 100 sekolah di pantai timur dengan menyumbangkan barangan asas dalam pelajaran iaitu pensel.

Projek itu turut disertai barisan artis yang juga berkongsi minat dalam melakukan kerja amal antaranya Altimet, Eyza Bahra, Aishah Bujang, Najwa Latif, Twinnies, Syuhada, Zahid AF, Encik Mimpi, Lawa Nie Geng dan Khai Bahar.

Bagi penyanyi yang mendapat jolokan Raja Smule, Khai Bahar, ini kali pertama dia menyertai program amal sedemikian.

“Untuk Projek 1 Pensel ini, mungkin kita merasakan bahawa pensel itu bukan apa-apa, namun ia sebenarnya banyak manfaat,” katanya.

Menurut Khai yang popular dengan lagu Bayang itu, dia mengakui menyimpan impian untuk melakukan lebih banyak kerja amal selepas ini.

“Selepas ini, Insya-Allah saya akan terus melakukan kerja amal. Banyak benda yang saya impikan untuk terbabit sama dan paling penting, saya nak ajak peminat beramai-ramai menyertai kerja amal ini.

“Mungkin kita akan beri sumbangan kepada mereka yang memerlukan dan contohnya pelajar sekolah dan sebagainya,” katanya.

Bagi Zahid pula, dia menganggap program seumpama ini yang disertai artis sedikit sebanyak boleh menarik minat orang ramai untuk turut serta.

“Ini adalah inisiatif yang bagus dilakukan oleh THR Gegar dalam membantu pelajar di pantai timur,” katanya.

Ditanya mengenai pendapatnya apabila bercakap mengenai kepentingan pensel dalam kehidupan, Zahid menganggap ia sebagai simbolik kepada kehidupan manusia.

“Tentunya pensel sangat dekat dengan saya yang juga masih bergelar pelajar. Kalau dalam kehidupan, saya lihat pensel adalah salah satu simbolik kepada percubaan kita melakukan sesuatu dan sekiranya tersalah, ia masih boleh dipadam dan diperbetulkan,” katanya.

Bagi penyanyi Syuhada Amin pula, dia menganggap Projek 1 Pensel membuka matanya untuk melihat sesuatu yang selama ini dianggap tidak penting.

“Saya sendiri tersedar, dalam pada kita menganggap pensel itu bukan objek yang penting, namun bagi sesetengah orang ia sangat penting,” katanya.

Dia yang kerap menyertai program amal berkata, menjadi tanggungjawab sebagai artis untuk mengajak masyarakat melakukan perkara positif.

“Tentunya dalam hati saya ada niat untuk beramal. Selalunya, kalau ada artis yang mulakan, peminat akan ikut serta, sekali gus memupuk semangat kerjasama dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kandungan THR Gegar, Nadira Azizan berkata, Projek 1 Pensel yang bermula sejak 1 Disember lalu terbuka kepada seluruh masyarakat dengan hanya bermodalkan sebatang pensel.

“Objektif Projek 1 Pensel adalah untuk memudahkan proses pembelajaran setiap pelajar dengan membantu mereka menyediakan keperluan asas dan secara tak langsung, menggalakkan pendengar THR Gegar bersama-sama melakukan kebaikan walaupun dengan modal yang sangat kecil.

“Sumbangan sebatang pensel ini akan disumbangkan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan latar belakang, agama dan umur dan anda boleh mula menyumbangkan sekurang-kurangnya sebatang pensel bermula 1 Disember lalu hingga 31 Disember ini.

“Misi THR Gegar adalah untuk mengumpul sehingga 100,000 batang pensel dan diberikan kepada 100 sekolah di seluruh pantai timur,” katanya.

Sumbangan boleh dihantarkan kepada kru Gegar yang berada di beberapa lokasi lintasan atau secara pos ke ibu pejabat THR Gegar serta cawangan Astro Radio di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 5:00 AM