LOUIS van Gaal
LOUIS van Gaal
ANGEL Di Maria
ANGEL Di Maria
DAVID De Gea
DAVID De Gea
ROBIN van Persie
ROBIN van Persie
MICHAEL Carrick
MICHAEL Carrick

Manchester United berdepan risiko mengakhiri kempen tanpa sebarang trofi selepas tewas kepada Arsenal dalam Piala FA. Hakikatnya, adakah pemain mereka menunjukkan peningkatan di bawah kendalian Louis van Gaal atau sebaliknya?

Angel Di Maria

Pemain terbaik perlawanan pada final Liga Juara-Juara bersama Real Madrid musim lalu, namun pemain yang mencatat rekod pembelian tertinggi Britain iaitu £59.7 juta (RM332.8 juta) berdepan detik sukar di Old Trafford. Tidak lagi dilihat berkeyakinan malah berdepan penggantungan selepas dibuang padang ketika menentang Arsenal. (Merosot)

Radamel Falcao

Penyerang Colombia itu dipinjamkan dari Monaco demi memenuhi harapan peminat, namun sebaliknya mengecewakan di Old Trafford. Kurang pantas dan ketepatan dan biarpun taktik Van Gaal tidak begitu sesuai dengannya, empat gol jaringannya gagal memenuhi reputasinya sebagai antara penyerang terbaik dunia.(Merosot)

Juan Mata

Pembelian £37.1 juta (RM204.7 juta) bertaraf rekod kelab pada Januari 2014 namun Mata kini hanya pemain mahal yang terpinggir. Menjaringkan enam gol dalam 25 penampilan musim ini namun tempatnya dalam pasukan dirampas Marouane Fellaini yang menampilkan permainan ‘direct’ yang disukai Van Gaal. ( Merosot)

David De Gea

Menuju gelaran Pemain Tahunan United buat tahun kedua berturut-turut, penjaga gol Sepanyol begitu cemerlang di sebalik pertahanan tidak meyakinkan. Isu kontrak bakal mencetuskan masalah buat United yang mungkin kehilangan penjaga gol berusia 24 tahun itu kepada Real Madrid. (Meningkat)

Robin van Persie

Menjaringkan 18 gol dalam 28 perlawanan pada musim ‘buruk’ bersama David Moyes namun ketika beraksi di bawah kendalian jurulatih yang dipujanya, Van Persie hanya menjaringkan 10 gol dalam 26 perlawanan musim ini. Kelihatan begitu lembab, keletihan dan tidak berdaya, malah gagal memberikan persembahan seperti diharap Van Gaal. (Merosot)

Wayne Rooney

Penjaring terbanyak United dengan 12 jaringan musim ini, Rooney semakin matang dengan tugas sebagai kapten dan ada kalanya mampu menaikkan semangat pasukan yang hambar meskipun terpaksa bermain di luar posisi di bahagian tengah. (Meningkat)

Michael Carrick

Terlepas peluang ke Piala Dunia tahun lalu akibat aksi kurang memberangsangkan di bawah David Moyes. Mengalami kecederaan musim ini tetapi United jauh lebih baik dengan kehadiran pemain berusia 33 tahun ini. (Meningkat)

Tyler Blackett

Pemain pertahanan yang dinaikkan daripada skuad simpanan pada pra musim dan sejak itu membuat 10 penampilan dan ditawar kontrak baru. Pemain berusia 20 tahun itu menunjukkan potensi menjadi kesebelasan utama pada masa depan. (Meningkat)

Daley Blind

Pemain yang dibeli daripada Ajax pada harga £13.8 juta (RM76.9 juta), menggalas tugas sebagai pemain tengah dengan baik menerusi 20 penampilan, namun pemain Belanda itu kurang naluri menyerang dan ini melambatkan United. Begitupun dia lebih baik berbanding Tom Cleverley. (Sederhana)

Jonny Evans

Pertahanan Ireland Utara yang kini digantung enam perlawanan kerana meludah hanya membuat 16 penampilan musim ini dan gagal menampilkan aksi terbaik. Pemain yang kini berusia 27 tahun ini bakal dijual akhir musim ini. (Merosot)

Marouane Fellaini

Pemain tengah Belgium itu begitu teruk di bawah Moyes pada musim pertamanya namun lebih baik musim ini tetapi lebih banyak kepercayaan diterima pemain berusia 27 tahun itu memaksa pasukan bermain secara ‘direct’ dan itu tidak disukai penyokong. (Meningkat)

Ander Herrera

Pemain berharga £28.8 juta (RM160.3 juta) daripada Athletic Bilbao hanya 12 kali diturunkan sebagai kesebelasan utama, dan sembilan kali sebagai pemain gantian tetapi menjaringkan lima gol. Memberikan United momentum kekuatan tetapi sering diketepikan setiap kali Van Gaal melakukan rombakan. (Sederhana)

Ashley Young

Tiada pemain yang menunjukkan peningkatan ketara di bawah Van Gaal seperti pemain sayap Aston Villa yang berdepan musim penuh igauan di bawah Moyes dan bakal dibuang kelab itu. Pemain berusia 29 tahun itu menemui sentuhannya kembali dan mencipta kejayaan. (Meningkat)

Adnan Januzaj

Januzaj mencuri tumpuan ketika kendalian Moyes, namun pemain sayap Belgium itu hanya menjadi pemain pinggiran di bawah Van Gaal dengan hanya lapan perlawanan daripada semua kejohanan. Pada usia 20 tahun, Januzaj sepatutnya mengukuhkan kedudukannya tetapi masih belum cukup meyakinkan pengurusnya.( Merosot)

Phil Jones

Pertahanan England itu berehat panjang musim ini akibat kecederaan hamstring dan tulang kering dan masih gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama, dengan hanya 17 penampilan. Tidak meningkat seperti yang diharapkan. ( Merosot)

Paddy McNair

Diambil daripada skuad simpanan oleh Van Gaal untuk mengatasi krisis pertahanan September lalu, pemain berusia 19 tahun itu membuat 14 penampilan dan kontrak baru. Van Gaal meramalkan dia mampu menjadi bek kanan kelab itu untuk 10 tahun mendatang. (Meningkat)

Marcos Rojo

Pemain yang dibeli pada harga £16 juta (RM88.4 juta) daripada Sporting Lisbon menambah kekuatan dan pengalaman kepada barisan pertahanan yang kekurangan kualiti itu berikutan pemergian Nemanja Vidic, Rio Ferdinand dan Patrice Evra. Ada kalanya agak kasar namun ia lebih baik buat United sebelum ketibaannya. (Meningkat)

Luke Shaw

Pemain berharga £28 juta (RM154.8 juta) daripada Southampton dibelenggu kecederaan dan masalah kecergasan sejak tiba di Old Trafford. Pada usia 19 tahun, dia masih mempunyai masa depan tetapi sudah pasti tidak akan menyukai pengalaman pada musim pertama dengan kelab itu. (Merosot)

Rafael da Silva

Bek kanan Brazil itu hanya membuat 10 penampilan di bawah kendalian Van Gaal dan dijangka dijual musim panas ini selepas gagal memberi aksi meyakinkan di bahagian pertahanan. Kini menjadi pilihan ketiga di belakang Antonio Valencia dan Paddy McNair. (Merosot)

Chris Smalling

Pertahanan England itu berjaya menempatkan dirinya sebagai gandingan kepada Marcos Rojo sebagai bek tengah tetapi pemain berusia 25 tahun itu bagaikan hilang tumpuan dan mungkin ditukar musim panas ini. (Merosot)

Antonio Valencia

Pemain Ecuador itu bertukar posisi dari sayap kanan ke bek kanan oleh Vaan Gaal, namun kurangnya tumpuan di bahagian pertahanan menjadi masalah besar buatnya. United bakal mencari bek kanan baru, justeru masa depannya masih belum pasti. (Merosot)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 11:18 AM