FELLAINI (kanan) gagal menyerlah pada awal musim pertamanya bersama United. FOTO/AFP
FELLAINI (kanan) gagal menyerlah pada awal musim pertamanya bersama United. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER, England: Jose Mourinho menggambarkan Marouane Fellaini sebagai seorang yang mempunyai “karakter kuat” kerana menangani masalah awalnya di Manchester United sekali gus memantapkan dirinya sebagai pemain tonggak di Old Trafford.

Fellaini bergelut untuk melakukan impak positif pada awal kariernya di United selepas tiba dari Everton dengan harga £27.5 juta (RM155 juta) pada 2013, dengan satu akhbar Britain menamakannya antara 10 pembelian terburuk Liga Perdana Inggeris pada hujung tahun pertamanya.

Namun pengurus United, Mourinho menjelaskan beliau melihat sumbangan Fellaini penting dalam perkembangan kelab itu, menyatakan bulan lalu beliau berasakan pasukan itu “lebih lemah” tanpa kehadiran pemain tengah itu.

Pemain kebangsaan Belgium itu terlepas aksi menang 4-1 dalam Liga Juara-Juara ke atas CSKA Moscow di laman lawan Rabu lalu kerana kecederaan buku lali, namun kembali dengan menjaringkan dua gol ketika United membenam Crystal Palace 4-0 di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana.

MOURINHO gembira kembali mengembalikan semula sentuhan Fellaini. FOTO/AFP
MOURINHO gembira kembali mengembalikan semula sentuhan Fellaini. FOTO/AFP

“Saya fikir hanya satu karakter kuat boleh menangani kesukaran di sini,” ujar Mourinho.

“Dia berdepan masa-masa sukar apabila orang tidak menghargai kualitinya, apabila pengurus lain tidak suka dengan kualiti dimilikinya.

“Dia seorang pejuang, pemain bermaruah dan saya amat gembira membantunya mencapai tahap ini dan mengubah persepsi peminat terhadapnya sekarang.”

Mourinho menegaskan Fellaini mendapat faedah daripada corak pengurusannya berbanding pengurus terdahulu di Old Trafford.

“Semua pengurus berbeza. Kadang-kadang anda suka pemain yang mereka tidak suka,” kata Mourinho.

“Sesetengah pemain beraksi lebih bagus bersama anda berbanding pengurus lain dan saya ada contoh pemain yang tidak bermain baik bersama saya tapi kemudiannya bertindak lebih bagus dengan pengurus lain.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 1:50 PM