FELLAINI (kanan) mengasak pemain Perancis, Kylian Mbappe pada Piala Dunia tahun lalu. — FOTO Agensi
FELLAINI (kanan) mengasak pemain Perancis, Kylian Mbappe pada Piala Dunia tahun lalu. — FOTO Agensi
AFP

BEKAS pemain tengah Manchester United, Marouane Fellaini bersara daripada tugasan antarabangsa bersama Belgium semalam, hanya sebulan selepas berpindah dari Old Trafford ke China.

“Selepas 12 tahun mewakili Belgium di peringkat tertinggi, saya memutuskan untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa,” kata Fellaini dalam akaun Twitter.

“Ia bukannya satu keputusan mudah buat saya dan bukannya saya ambil dengan mudah.

“Namun saya berasakan ini masa tepat buat saya sekali gus membolehkan generasi baru pemain Belgium untuk meneruskan tempoh cemerlang dalam sejarah bola sepak negara kami.”

Fellaini, 31, melakukan 87 penampilan buat Belgium dan menjadi sebahagian daripada skuad yang berakhir di tangga ketiga pada Piala Dunia tahun lalu.

Belgium kini mengungguli ranking nombor satu FIFA di depan Perancis, pasukan yang menewaskan mereka pada separuh akhir di Russia.

Fellaini meninggalkan United bulan lalu selepas lima setengah tahun di kelab itu untuk menyertai kelab Liga Super China, Shandong Luneng.

Dia menghabiskan enam musim di Everton sebelum mengikut David Moyes ke Manchester susulan pelantikan pengendali dari Scotland itu sebagai pengganti Alex Ferguson.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 12:59 PM