SAKSI, Abdul Wahab Mohamad. FOTO Rozainah Zakaria
SAKSI, Abdul Wahab Mohamad. FOTO Rozainah Zakaria

Marang: Seorang penduduk terdengar bunyi letupan seperti mercun sebelum melihat kelibat dua orang menaiki sebuah motosikal meninggalkan kawasan rumah bekas ADUN Alor Limbat, Allahyarham Alias Abdullah, 51.

Abdul Wahab Muhammad, 35, berkata ketika itu dia bersama empat lagi rakannya berada di sebuah bangsal tidak jauh dari tempat kejadian.

“Bila saya keluar dari bangsal, saya lihat seorang bertubuh besar dan memakai topi keledar berlari dalam keadaan tergopoh gapah ke arah rakannya yang sedang menanti di motosikal.

“Mereka naik motosikal tanpa nombor plat. Saya terus kejar kedua-duanya dengan motosikal berserta beberapa orang lagi. Bila sampai dekat Kampung Batu 12 (kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian), mereka pun hilang,” katanya.

Katanya, sebelum itu dia ternampak kedua-duanya sedang menghala ke rumah Alias.

Alias ditembak pada jarak dekat di rumahnya di Kampung Alor Limbat Bukit Payong, selepas pulang daripada solat Jumaat.

Allahyarham kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Payung oleh jirannya, namun disahkan meninggal dunia.

Fazil Yusof, 32, yang juga kenalan Alias, berkata dia berjumpa Allahyarham, tengah hari, di sebuah kedai kopi berhampiran selepas mangsa dikatakan pergi melawat saudaranya yang akan membuat majlis kenduri.

Alias menjadi ADUN Alor Limbat selama dua penggal mulai 2004 sebelum kalah kepada calon PAS pada pilihan raya umum ke-13.

Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Ketua Umno Cawangan Alor Limbat.

Allahyarham pernah bertugas sebagai Ketua Unit Pendakwaan Negeri Terengganu (Timbalan Pendakwa Raya/Peguam Kanan Persekutuan) dari 1 Mei 1997 hingga 18 Nov 1999).

Allahyarham meninggalkan isteri Noreha Mohamad, 45, dan empat orang anak.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tamah Perkuburan Islam Kampung Alur Limbat selepas solat Isyak malam ini.

Sementara itu pihak polis telah melancarkan Ops Tutup bagi mengesan dan menjejaki suspek.

Ketua Polis Daerah Marang, Suhaimi Mohd Ali yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah di mana mayat Allahyarham ditempatkan berkata motif kejadian juga sedang dikenal pasti. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 9:24 PM