Kuala Lumpur: Persekutuan Pengurus-Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) berharap kerajaan dapat melanjutkan langkah pengecualian cukai bayaran pengurusan dana Islam selama tiga tahun lagi dalam Bajet 2016.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nazaruddin Othman berkata, pengecualian cukai berkenaan adalah antara faktor utama yang melonjakkan industri dana Islam di Malaysia sejak diperkenalkan pada 2008.

“Langkah pengecualian cukai semasa yang meliputi 25 peratus cukai korporat itu akan ditamatkan menjelang 2016. Peratusan dana Islam berbanding jumlah nilai aset bersih (NAV) masih rendah iaitu pada kadar 14 peratus. Justeru, kita masih ada peluang untuk mengembangkan lagi dana Islam ini.

“Malah, kadar pertumbuhan dana Islam ternyata lebih baik berbanding konvensional sejak tiga hingga empat tahun lalu dan meningkat kira-kira 14 hingga 16 peratus setahun berbanding kira-kira 10 peratus bagi konvensional,” katanya pada sidang media di Konvensyen Tahunan FIMM di sini, semalam.

Bertemakan Amanah dan Keyakinan Pelabur: Kunci Mencapai Perhubungan yang Mapan, konvensyen sehari itu menjadi platform bagi perunding unit amanah dan Skim Persaraan Swasta (PRS) berkongsi pengetahuan, kepakaran, idea serta pengalaman dengan rakan profesional dan penggiat industri itu.

Nazaruddin berkata, permintaan semasa bagi dana Islam juga menggalakkan berikutan keengganan sesetengah pelabur mendapatkan pendedahan terhadap saham berasaskan kewangan dalam portfolio pelaburan mereka.

Beliau turut menjangkakan pengambilan produk PRS akan mengekalkan momentumnya biarpun dalam persekitaran ekonomi semasa yang mencabar.

“Potensi perkembangan PRS amat besar. Ia adalah teras ketiga bagi tujuan persaraan yang dikemukakan kerajaan selain Kumpulan Wang Persaraan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

“Saya rasa NAV bagi PRS ini akan terus meningkat kerana wujudnya kekangan bagi mengelak mereka mengeluarkan wang secara mudah,” katanya.

Menurutnya, pihak Pentadbir Pencen Swasta Malaysia dan FIMM akan terus mengadakan pelbagai program kesedaran bagi mempromosikan PRS serta manfaatnya kepada golongan pesara. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 5:43 AM