Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Golongan muda kini memiliki kesedaran tinggi terhadap tabiat menyimpan bagi tujuan persaraan terutama melalui Skim Persaraan Swasta (PRS) apabila kajian pasaran terbaru menunjukkan ia mencapai peningkatan positif, tahun lalu.

Kajian itu mendedahkan 37 peratus daripada 13.2 juta populasi pekerja di negara ini memiliki kesedaran mengenai PRS dengan golongan muda mencapai tahap 40 peratus pada tahun lalu berbanding 30 peratus pada 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbir Persaraan Swasta Malaysia (PPA), Datuk Steve Ong berkata, ketika ini jumlah keahlian PRS masih rendah iaitu 180,000 meskipun mula ditawarkan tiga tahun lalu.

“Walaupun jumlah itu masih rendah, namun ia dianggap baik kerana paling penting adalah kesedaran kian meningkat dalam kalangan pekerja awam dan swasta di negara ini,” katanya.

PRS adalah skim pelaburan jangka panjang yang diwujudkan untuk menambah simpanan dana persaraan dengan objektif memberi pilihan bagi skim sedia ada untuk rakyat Malaysia secara sukarela di bawah skim berstruktur dan dikawal selia.

Untuk mengalakkan penyertaan golongan muda, kerajaan mengumumkan insentif RM500 sekali sahaja pada Bajet 2014 kepada pencarum membeli unit dana PRS bertujuan menggalakkan mereka melakukan simpanan jangka panjang persaraan melalui PRS.

Beliau berkata, individu boleh memilih melabur dalam PRS berdasarkan keperluan persaraan, matlamat kewangan dan toleransi risiko mereka sendiri.

“Mereka boleh memilih lapan penyedia PRS yang ada di pasaran dan aset bagi setiap PRS diasingkan daripada penyedia PRS serta ditempatkan di bawah pegangan amanah kendalian Pemegang Amanah Skim bebas,” katanya.

Beliau berkata, setiap individu dilihat perlu memiliki dua dana persaraan iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diwajibkan secara mandatori dan dana tambahan untuk mendapatkan persaraan lebih baik kerana kajian menunjukkan kebergantungan kepada KWSP tidak mencukupi untuk menampung tempoh persaraan kelak.

Menurutnya, kajian terbabit menunjukkan individu perlu menjana pendapatan sekurang-kurangnya 33 peratus daripada jumlah gaji di mana ketika ini, KWSP hanya menjana 23 peratus pendapatan persaraan, namun ia masih belum mencukupi bagi menikmati persaraan selesa.

“Untuk menjana 10 peratus pendapatan, maka mereka memerlukan dana tambahan iaitu PRS di mana ia adalah skim nasional dilaksanakan secara sukarela dan bukan pengganti kepada KWSP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 6:53 AM