LANCASTER (kanan) dan Robshaw sugul ketika sidang media.
LANCASTER (kanan) dan Robshaw sugul ketika sidang media.
AFP

London: Jurulatih England Stuart Lancaster memohon maaf dan mengaku masa depannya kini bercelaru selepas pasukannya disingkirkan Australia pada aksi Ragbi Piala Dunia di Twickenham.

Kapten Lancaster dan England Chris Robshaw turut membuat permohonan maaf kepada rakyat negaranya selepas mereka tewas 13-33 di tangan Wallabies, kelmarin.

Pelbagai kritikan pantas dilemparkan peminat selepas England menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama gagal layak ke suku akhir.

Ditanya apakah kemungkinan yang bakal dihadapi selepas kekalahan itu, Lancaster berkata: “Secara dasarnya, saya rasa bahawa saya patut pergi. Itu bukan satu-satunya keputusan saya.

“Tanggungjawab serta semua kesalahan harus saya pikul,” kata Lancaster yang diberikan kontrak lanjutan tahun lalu dan beliau sepatutnya berkhidmat hingga 2020 iaitu ketika Piala Dunia di Jepun.

“Semua pihak meletakkan harapan tinggi kepada kami tetapi kami minta maaf kerana mengecewakan anda,” jelas Lancaster.

Jurulatih itu berkata, keutamaannya selepas ini ialah untuk mempersiapkan England ke perlawanan terakhir peringkat kumpulan iaitu menentang Uruguay di Manchester, Sabtu ini.

England diperkotak-katikkan Australia dan pemain fly-half Bernard Foley menjaringkan 28 mata.

Sementara itu, Robshaw yang dilantik Lancaster, mengaku bahawa dia juga akan berdepan tekanan akibat kekalahan itu.

“Kami rasakan bahawa kami mengecewakan seluruh rakyat England hari ini. Sebagai pemain, kami tidak melawan dengan baik. Kami memohon maaf atas kesalahan itu.

“Saya rasa minggu ini kami perlu menjawab pelbagai soalan yang sukar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:02 AM