Pemain Selangor, Adam Nor Azlin (kiri) dicabar pemain Sheikh Jamal Dhanmondi Anirsur Alam pada perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC 2016 di Selayang. FOTO NSTP/OSMAN ADNAN
Pemain Selangor, Adam Nor Azlin (kiri) dicabar pemain Sheikh Jamal Dhanmondi Anirsur Alam pada perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC 2016 di Selayang. FOTO NSTP/OSMAN ADNAN
Oleh Firdaus Hashim


Selayang: Skuad Red Giants hampir diaibkan kelab dari Bangladesh, Sheikh Jamal apabila mencatat kemenangan tipis 2-1 dalam aksi Kumpulan E Piala AFC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang), sebentar tadi.

Sebaik tiupan wisel permulaan ditiupkan, pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan pantas menguasai permainan dengan beberapa percubaan menggegar gol lawan namun tuan rumah hanya memperoleh gol pembukaan pada minit ke-16 menerusi Ahmad Hazwan Bakri selepas beberapa percubaan sebelum itu menghampakan.

Walaupun terus menguasai perlawanan, tuan rumah bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan penyamaan pelawat menerusi rembatan Landing Darboe minit ke-35 selepas berlakunya situasi kelam kabut di depan gawang Khairul Azhan Khalid.

Pada minit ke-56, tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Hafiz Kamal diperintahkan keluar padang biarpun bekas tonggak Tok Gajah itu sekadar menepuk bahu pemain pelawat.

Bagaimanapun, pelawat juga menerima nasib sama apabila Yeasin Khan menerima kad kuning kedua pada minit ke-67, sekali gus kedua-dua pasukan beraksi dengan kekurangan seorang pemain.

Ketua jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan:” Persembahan menyerang pemain begitu ketara. Alhamdulillah mereka telah menjalankan tugas”.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 11:02 PM