OLIVI (tengah) dipeluk Andik dan Nazmi Faiz selepas menjaringkan gol.
OLIVI (tengah) dipeluk Andik dan Nazmi Faiz selepas menjaringkan gol.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Insiden pergaduhan bilik persalinan kem Selangor selepas berakhirnya aksi bertemu FELDA United tempoh hari dianggap Andik Vermansyah sebagai mempunyai hikmah tersendiri.

Menurut Andik, kelibat [pemain utama’ dalam insiden itu - Mauro Olivi - sepanjang aksi menentang Pulau Pinang kelmarin jelas berbeza daripada sebelumnya apabila penyerang dari Argentina itu banyak menggerakkan jentera depan selain jaringannya membolehkan Red Giants memungut tiga mata penting.

“Saya gembira kerana pemain pasukan ini kembali bersatu hati. Memang dalam sukan berpasukan, kita tidak dapat lari daripada berlakunya masalah kecil.

“Tapi, apa yang berlaku itu mungkin ada hikmahnya. Hasilnya, Olivi cukup bagus malam ini (kelmarin) kerana banyak membantu pasukan dan saya harap kami akan terus menang,” katanya.

Pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang) itu, Olivi yang direhatkan susulan insiden pergaduhan dengan Hafiz Kamal ketika menentang FELDA United, kembali disenaraikan. Tapi Hafiz tidak diturunkan kerana penggantungan perlawanan.

Olivi yang mengaku bersalah kerana memulakan insiden itu, memainkan peranan penting atas kebangkitan Selangor apabila sepakan percuma diambilnya pada minit ke-16 menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Sani Anuar Kamsani untuk gol tunggal perlawanan.

“Saya gembira kerana dapat tiga mata penting meskipun Pulau Pinang cuba bermain secara bertahan.

“Pada suatu ketika kami agak sukar menembusi benteng mereka kerana terlalu ramai pemain berkampung di bawah. Namun atas kerja keras akhirnya kami dapat kemenangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 8:40 AM