Bulterman (kiri) dan Onishi memberi taklimat mengenai operasi Fuji Xerox.
Bulterman (kiri) dan Onishi memberi taklimat mengenai operasi Fuji Xerox.

Pusat inovasi terbaru milik peneraju teknologi pengurusan dokumen dan percetakan, Fuji Xerox Co Limited (Fuji Xerox) di Singapura bakal memulakan operasi sulungnya, hari ini.

Naib Presiden Korporatnya, Yasuaki Onishi berkata, pembukaan pusat inovasi itu sejajar keperluan pengguna, sekali gus membuktikan komitmen jenama terbabit terhadap keperluan masyarakat di rantau ini.

Beliau berkata, fungsi utamanya untuk melakukan penyelidikan jangka pendek dan panjang dalam usaha mengkomersialkan produk perkhidmatan serta penyelesaian jenama terbabit.

“Pusat inovasi ini bekerjasama rapat dengan pelanggan dan rakan kongsi di rantau ini (kecuali Jepun) seiring misi syarikat iaitu menyediakan inovasi teknologi terkini untuk kemudahan pengguna.

“Pusat inovasi berkenaan juga bekerjasama erat dengan dua kemudahan penyelidikan sedia ada iaitu Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Yokohama dan FX Palo Alto Laboratory Inc Lembah Silikon, Amerika Syarikat (AS),” katanya pada sesi taklimat khas bersama wakil media dari Asia Pasifik, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi FX Palo Alto Laboratory, Dick C A Bulterman.

Onishi berkata, pihaknya memilih Singapura sebagai lokasi pilihan selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kedudukan negara terbabit yang berada di tengah rantau Asia Pasifik.

“Pembukaan pusat ini tidak menjejaskan operasi makmal penyelidikan di Yokohama mahupun di AS kerana masing-masing mempunyai fokus penyelidikan tersendiri.

“Begitupun, ketiga-tiga pusat penyelidikan ini tetap bekerjasama dalam perspektif tertentu bagi menghasilkan produk dan perkhidmatan yang menepati keperluan pasaran tempatan,” katanya.

Sementara itu, Bulterman berkata, pihaknya menyambut baik pembukaan pusat inovasi itu dan menganggapnya sebagai inisiatif baru syarikat gergasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:09 AM