Kuala Lumpur: Sicpa, pembekal global dakwat keselamatan, pelbagai produk dan perkhidmatan pengesahan serta pengesanan bagi wang kertas, dokumen sekuriti dan produk konsumer melabur sejumlah RM5 juta untuk membuka sebuah pusat operasi Asia Pasifik terbaru di Cyberjaya.

Pusat itu membolehkan Sicpa membekalkan penyelesaian berasaskan keperluan rantau untuk mewujudkan persekitaran lebih selamat menerusi jaminan hasil cukai dan perlindungan integriti, nilai produk serta jenama selain menjalinkan hubungan kerjasama erat dengan kerajaan serta perniagaan di rantau Asia Pasifik untuk memerangi perdagangan haram.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Philippe Amon berkata, Sicpa melabur di Malaysia kerana menyedari kepentingan berada di pasaran Asia Pasifik bagi memupuk interaksi lebih kerap dan mudah dengan rakan kerja setempat.

“Usaha ini dapat menjamin pemahaman mendalam terhadap keperluan pengguna daripada aspek penghasilan inovasi teknologi terulung untuk memerangi pasaran haram yang membabitkan aktiviti penyeludupan dan pemalsuan,” katanya pada majlis pelancaran pusat operasi Asia Pasifik Sicpa oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, baru-baru ini.

Hadir sama Duta Switzerland, Dr Rolf Lenz dan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad.

Sementara itu, Pengurus Besar Sicpa Product Security Sdn Bhd, Alain Augsburger berkata, pelaburan berjumlah RM5 juta bagi salah satu daripada tiga pusat serantau Sicpa di dunia itu merangkumi makmal ujian, bilik pelayan, infrastruktur IT dan pusat pengekodan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 7:48 AM