SENI melipat napkin turut diberi penekanan.
SENI melipat napkin turut diberi penekanan.
SEMUA pelajar dilatih membawa dulang makanan dan kutleri.
SEMUA pelajar dilatih membawa dulang makanan dan kutleri.
CRISTETA.
CRISTETA.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Pernahkah terfikir siapa yang menyediakan hidangan anda kala anda seronok bercuti di luar negara? Kemungkinan besar, tukang masak yang bertungkus-lumus menyiapkan pelbagai sajian enak itu terdiri daripada warga Filipina.

Sejak 1970-an lagi Filipina memang terkenal kerana ‘mengeksport’ penduduknya secara besar-besaran untuk bekerja di luar negara, khususnya sebagai pembantu rumah dan buruh binaan bergaji rendah yang lebih rela mengharung cabaran besar di rantauan daripada terus hidup dilanda kemiskinan di tanah air sendiri.

Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia bijak memanfaatkan peluang mendapatkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pendapatan lebih baik dengan menubuhkan sekolah memasak yang melahirkan berpuluh ribu tukang masak setiap tahun. Mereka inilah yang bakal mengisi kekosongan jawatan di dapur di seluruh dunia.

“Sejak kecil saya memang minat memasak, terutama membuat kek, biskut dan pastri,” kata bekas kerani bank, Rochelle Evaristo ketika dia berehat seketika dari membuat sandwic bersama rakan pelajar lain.

“Saya juga mahu bekerja di luar negara. Sepupu saya sekarang berada di Kanada dan menurutnya ramai tukang masak diperlukan di sana,” katanya.

Rochelle yang berusia lewat 20-an adalah pelajar tertua dalam kelasnya di sekolah masakan kelolaan kerajaan yang dihadiri 39 peserta kebanyakannya masih remaja.

Lebih 10 juta warga Filipina kini bekerja di luar negara dan tiga kerjaya yang paling popular dalam kalangan mereka ialah pembantu rumah, kelasi dan buruh.

Bagaimanapun, kini semakin ramai mengidamkan kerjaya sebagai tukang masak atau pembuat roti dan kek sama ada di kapal persiaran, hotel, restoran dan kasino, kata timbalan pengarah operasi sekolah berkenaan, Teodoro Pascua.

Menurut data dari jabatan buruh, dalam tempoh 2010 hingga 2014, hampir 180,000 warga Filipina bekerja di dapur kapal di luar negara termasuk 72,000 ketua cef dan selebihnya sebagai pembantu dapur serta pelayan.

Dalam tempoh berkenaan, 65,000 warga Filipina berkerja dalam bidang yang sama di hotel dan restoran luar negara. Rakyat Filipina menjadi aset penting dalam industri katering dunia kerana mereka fasih berbahasa Inggeris dan boleh menyesuaikan diri dengan mudah di negara orang. Selain itu sikap mereka yang sanggup bekerja kuat dan mudah mesra menjadi daya penarik, kata Pascua.

“Itu adalah kelebihan kami yang membuatkan kami lebih menonjol berbanding pekerja dari negara jiran atau negara lain di seluruh dunia,” sambungnya.

Pascua menambah, graduan yang menamatkan kursus kemasukan selama enam bulan di sekolahnya yang dipantau oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Kemahiran Filipina, boleh bekerja di mana-mana dapur.

“Majikan mereka boleh tahu pelajar ini tidak akan ‘tenggelam punca’ apabila berada di dapur. Mereka tidak akan buat kecoh di dapur,” katanya lagi.

Menurut Pascua, sehingga kini ada kira-kira 2,500 sekolah memasak di Filipina kebanyakannya sekolah swasta, tetapi banyak juga di bawah kendalian kerajaan.

Lumpia dan adobo di White House

Laluan kulinari ini sebenarnya dipelopori oleh bekas tukang cuci pinggan, Pablo Logro, yang akhirnya berjaya menjadi tukang masak peribadi kepada Sultan Oman.

Logro memulakan kerjayanya dengan membantu membuat pau di sebuah restoran Cina di Manila. Dari situlah dia mula menimba ilmu daripada cef masakan Asia.

Dia kemudian melompat kerja dan menjadi pembantu cef di sebuah hotel di Manila, di mana dia berkawan dengan seorang tetamu dari Arab yang menawarkannya jawatan sous cef di Oman pada awal 1980-an.

Tidak disangka, lokasi yang menjadi medan untuk dia mempertaruhkan kebolehannya adalah Istana Al Bustan, yang menempatkan tetamu di raja.

Dalam satu temubual bersama media Filipina, Logro berkata, sepanjang 10 tahun bertugas, dia selalu menyediakan hidangan daging kambing untuk sultan, keluarga di raja dan ketua kerajaan negeri.

Apabila kembali ke tanah air, dia ditawarkan bekerja sebagai eksekutif cef warga tempatan pertama di hotel lima bintang. Selepas puas menabur kemahirannya, dia mengambil keputusan berhenti dan membuka sekolah kulinarinya sendiri. Pada masa sama, Logro menggilap namanya sebagai cef selebriti dengan mengendalikan rancangan masakan yang digemari ramai.

Satu lagi contoh yang membanggakan Filipina ialah Cristeta Comerford, yang memulakan menjadi pembantu cef di White House ketika pemerintahan Bill Clinton pada 1995, selepas puas menimba pengalaman di hotel lima bintang di Amerika Syarikat.

Dia kemudian dilantik sebagai eksekutif cef di dapur kediaman presiden oleh isteri George W Bush, Laura - jawatan yang membawanya ke kediaman Barack Obama.

Ketika lawatannya ke Filipina tahun lalu, Obama memuji keenakan dua sajian tradisional yang disediakan oleh Criesteta untuk keluarganya.

“Kami berterima kasih kepadanya. Kerana dia, kami di White House dapat menikmati lumpia dan adobo,” katanya pada majlis makan malam negara yang merujuk kepada popia goreng dan daging yang diperap dengan garam, bawang putih serta cuka.

Gaji lebih lumayan

Seperti pelajar lain, Evaristo, bekas kerani bank juga menyimpan impian menggunung, dia mahu mendapat pendapatan lebih tinggi berbanding gaji dulu sebanyak 14,000 peso (RM1,290) sebulan.

Selepas latihan sambil kerja di hotel atau restoran sebaik menamatkan kursus enam bulan di sekolah masakan, dia berharap dapat mengikut jejak langkah sepupunya di Kanada yang bekerja sebagai ketua chef di sebuah restoran di Vancouver.

“Gaji sepupu saya sekarang dua kali ganda berbanding pendapatannya ketika bekerja di Manila dulu, walaupun memegang jawatan yang sama,” kata Evaristo.

Meskipun gaji petugas di dapur berbeza-beza, namun secara umumnya, semuanya jauh lebih tinggi berbanding pekerja domestik. Di dua lokasi paling popular, pembantu rumah di Arab Saudi biasanya dibayar sebanyak RM1,722 sebulan dan RM2,282 bagi yang bekerja di Hong Kong.

Menurut laporan industri, pekerja baru yang menjadi pembantu chef di kapal persiaran boleh mendapat gaji sebanyak RM3,875 sebulan.

Walaupun sasaran utama pelajar ini mendapatkan lebih wang, tetapi secara tidak langsung ia juga membuka ruang untuk mereka menyimpan impian besar dan mencipta kejayaan seperti Logro dan Cristeta, kata Imeldaugher Vera, salah seorang jurulatih di sekolah masakan di Manila.

“Apa yang membanggakan, seorang pelajar saya kini bekerja di istana di Timur Tengah, menyediakan hidangan untuk puteri raja,” kata Vera sambil tersenyum. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 8:08 AM