ILI menunjukkan menu istimewa, Grilled Squid with Garlic Chili Oil dan Seared Tuna with Pickled vegetables.
ILI menunjukkan menu istimewa, Grilled Squid with Garlic Chili Oil dan Seared Tuna with Pickled vegetables.
ILI bersama Basirah.
ILI bersama Basirah.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Dunia masakan bukan sesuatu yang asing buatnya malah kecekapannya di dapur sudah dipupuk sejak usia kanak-kanak. Jika rakan sekelasnya lebih gemar membeli makanan di kantin sekolah pada waktu rehat, tapi tidak bagi wanita ini ketika zaman persekolahannya.

Tidak pernah berasa malu membawa bekal ke sekolah, apatah lagi mengusung mangkuk tingkat berisi makanan yang dibekalkan ibunya, Cef Selebriti, Ili Sulaiman hanya memekakkan telinga saat ditertawakan rakan sekolah.

Namun katanya, apabila mereka melihat hidangan lazat yang dibawanya, semua orang mahu menjadi rakannya dengan harapan untuk mencuba makanan itu.

“Tidak lama selepas itu, saya melihat rakan sekolah mula membawa bekas makanan sendiri dan kami semua duduk dan makan bersama. Lihatlah bagaimana kuasa makanan boleh menyatukan saya dan rakan,” katanya sambil tertawa mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya.

Kerana mahu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk memelihara tradisi makan bersama-sama, Ili, yang menamatkan pelajaran di United Kingdom, pulang ke tanah air dan memulakan perniagaan penghantaran makanan, Dish by Ili menawarkan makanan dalam mangkuk tingkat yang boleh dikongsi lebih seorang.

“Saya mahu orang ramai membeli dan berkongsi makanan. Itulah yang berlaku kepada Dish by Ili ketika ia bermula,” katanya.

Minatnya yang mendalam dalam masakan membawa Ili lebih jauh dalam kerjayanya kini. Kejayaannya sebagai antara pemenang Food Hero 2 tahun lalu dianggap batu loncatan untuk Ili mengorak selangkah ke depan dengan peluang mengendalikan rancangan masakannya sendiri, By The Sea with Ili yang menemui penonton menerusi saluran Asian Food Channel (AFC) sejak awal bulan ini.

Program itu melihat Ili menelusuri beberapa pantai di rantau ini termasuk Da Nang, Vietnam; Phuket, Thailand dan Terengganu, merasai pelbagai hidangan makanan laut dan kemudian mencipta dua hida­ngan dengan sentuhannya sendiri tanpa mengubah banyak bahan yang digunakan.

Pendekatan seumpama itu katanya sebagai tanda hormat terhadap menu asal setiap tempat dilawati selain tidak mahu rasa masakan itu menjadi terlalu berbeza dengan resipi asal.

Bagi wanita yang peramah dan ceria itu, sebagai cef selebriti, dia mahu menjadikan setiap kenangan menarik yang dialaminya sewaktu menjelajah ke tempat orang sebagai sumber inspirasi dalam masakan seharian.

“Setiap lokasi dilawati mempunyai makanan tradisi yang menjadi jati diri sesebuah masyarakat. Sama seperti di negara kita, setiap makanan mempunyai cerita di sebaliknya,” katanya.

Nama Ili Sulaiman mula dikenali menerusi program Dari Mangkuk Tingkat Ili di Astro Maya HD dan progam masakan digital AFC Home Cooked Malaysia.

Kenangan diraja

Mendekati Ili lebih dekat, siapa sangka di sebalik kehandalannya memasak pel­bagai jenis juadah di kaca televisyen, wanita kacukan Melayu, Cina, Inggeris dan Sri Lanka itu graduan dalam bidang perniagaan di Queen Mary University of London.

Walaupun mempu­nyai ijazah dalam bidang perniagaan, Ili akui lebih berminat dengan industri masakan untuk dijadikan kerjaya.

“Saya banyak mendapat tunjuk ajar dalam masakan daripada nenek yang berketurunan Cina dan semasa menuntut di London, saya selalu masak dan jamu rakan di sana pada hujung minggu dan ketika jamuan hari raya dengan menu masakan kampung.

“Selepas tamat belajar, saya memberanikan diri bekerja di sebuah restoran makanan mewah di London. Pengalaman berharga itu juga menjadi titik tolak untuk saya menceburkan diri dalam industri ini dan tidak menoleh ke belakang sejak itu,” katanya.

Menurutnya, kemuncak kerjayanya ketika itu apabila menjadi sebahagian daripada pasukan perkhidmatan majlis makan malam untuk Prince William dan Duchess Catherine di Istana Buckingham.

Ili berkata, peluang itu satu penghormatan kepadanya untuk berkhidmat kepada figura diraja terkemuka itu dan dijadikan asas untuk lebih maju dalam industri masakan.

Menggunakan kelebihan yang ada padanya dalam dunia masakan, Ili tidak terlepas daripada memberi peluang kepada golongan belia tercicir masa depan lebih baik dengan membuka sebuah restoran merang­kap syarikat sosial yang dikenali sebagai Agak Agak bersama pasangannya dan cef Basira Yeuseff.

Pembukaan restoran itu bertujuan berbakti kepada masyarakat dengan merekrut belia untuk latihan praktikal dan holistik dalam dunia makanan dan minuman supaya mereka boleh mengubah trajektori kehidupan dan meningkat­kan kemahiran diperlukan dalam industri.

“Kami mahu mengubah persepsi kerjaya ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Setiap orang perlu berbangga dengan apa yang mereka lakukan, tidak kira sama ada mereka adalah kakitangan, tukang masak atau pembantu dapur.

“Pelajar yang direkrut akan dilatih melalui empat peringkat. Mereka bermula dengan beberapa latihan dalam bahagian operasi antaranya diajar mengenai keselamatan dan kesihatan makanan. Kemudian, kita akan melatih mereka untuk membangunkan menu dan bagaimana memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

“Selepas itu mereka akan dilatih dalam latihan kepemimpinan. Pada peringkat ini kami mencari kekuatan utama mereka dan membimbingnya. Pada masa sama, kami mengajar mereka mengenai pemasaran dan cara berkomunikasi dengan berkesan.

“Apabila pelajar sudah membina kemahiran, kami akan menghantar mereka untuk latihan dengan restoran lain yang bekerjasama dalam inisiatif ini,” katanya.

Ili berkata, inspirasi di sebalik Agak-Agak diambil daripada restoran Cef Jamie Oliver iaitu Fifteen dengan konsep yang sama oleh cef terkemuka dari UK itu.

Di Agak-Agak juga pelanggan dapat menikmati juadah sambal melihat sendiri cef memasak di depan mata mereka.

“Saya memang suka konsep terbuka kerana ia satu penghargaan buat cef untuk menonjolkan bakat memasak kepada orang ramai.

“Kebanyakan restoran bahagian memasak selalunya diletakkan di belakang, tetapi di Agak-Agak saya mahu cef berada di depan dan dikenali. Juadah yang diketengahkan di Agak-Agak lebih kepada makanan fusion iaitu gabungan menu dari Timur dan Barat,” katanya.

Agak-Agak, yang terletak di Art Printing Works, Jalan Riong, Kuala Lumpur membuka permohonan kepada orang ramai dengan syarat tertentu melalui agakagakinitiative.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 8:26 AM