PEMAIN Johor DT meraikan jaringan Figueroa (kiri) ketika menentang LionsXII, semalam.
PEMAIN Johor DT meraikan jaringan Figueroa (kiri) ketika menentang LionsXII, semalam.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Aksi babak kedua yang lebih konsisten menjadi penyumbang kepada kemenangan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) selepas menewaskan LionsXII 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, kelmarin.

Malah, ketua jurulatih skuad Harimau Selatan, Mario Gomez mengakui corak permainan pada babak pertama kurang menyerlah apabila Luciano Figueroa jelas keseorangan mengemudi jentera serangan.

Katanya, walaupun Mohd Amri Yahyah dan Safiq Rahim ditugaskan membantu Figueroa, tetapi ketangkasan pemain LionsXII yang sering menyekat pergerakan kedua-dua pemain itu menyebabkan gerakan untuk mencari gol terhalang.

“LionsXII bijak menutup ruang untuk pemain membuat gerakan berbahaya dan kami tidak dapat berbuat apa-apa selepas Luciano sering keseorangan di depan walaupun saya mahu dia kekal bersama Safiq dan Amri.

“Corak permainan hantaran bola jauh yang dipratikkan LionsXII juga menjejaskan penguasaan Johor DT dan pemain perlu menyerap apa jua tekanan daripada pasukan lawan dan saya perlu membuat beberapa pertukaran pada babak kedua,” katanya.

Gomez menegaskan apabila Safee Sali dan Gary Steven Robbat masuk pada babak kedua, corak permainan Johor DT lebih bertenaga dan mula menguasai perlawanan dan sering melakukan serangan berbahaya.

“Apapun saya tidak menolak faktor kepenatan selepas mengharungi jadual yang padat menjejaskan rentak permainan pasukan dan persediaan seterusnya berdepan Kelantan di tempat lawan, malam esok,” katanya.

Sementara itu, pengendali LionsXII, Fandi Ahmad tidak cepat melatah sebaliknya menegaskan pemainnya sudah mempamerkan aksi terbaik.

Katanya, LionsXII wajar pulang sekurang-kurang satu mata tetapi hilang konsentrasi menyebabkan benteng pertahanan dihukum oleh jaringan tunggal Figueroa.

“Saya tidak menyalahkan pemain akibat kekalahan itu kerana mereka sudah beraksi dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan namun hanya sedikit kelekaan maka kita dihukum.

“Apa yang saya boleh rumuskan, kita belajar daripada pasukan Johor DT dan Pahang kerana kedua-dua pasukan cukup berpengalaman dan ia memberi manfaat kepada pemain saya untuk berdepan baki tiga lagi perlawanan,” katanya.

LionsXII akan berdepan Selangor di Stadium Jalan Besar, malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 9:34 AM