Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak bercadang untuk mengkaji ketetapan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 150 bagi membolehkan perlawanan ditunda serta-merta seperti diumumkan sebelum ini.

Bagaimanapun Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah (gambar) berkata beliau memutuskan memberi kuasa kepada komisioner perlawanan untuk membatalkan dan menunda perlawanan ke tarikh lain jika didapati keadaan semasa di stadium memudaratkan.

“Walaupun SOP (prosedur operasi standard) kita ditetapkan 150, sekiranya komisioner perlawanan merasakan keadaan semasa memudaratkan, beliau boleh membatalkan perlawanan.

“Bacaan 150 adalah panduan yang kita gunakan namun pada masa sama komisioner perlawanan boleh menggunakan budi bicara dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Perlawanan di Stadium Shah Alam membabitkan Selangor menentang FELDA United, Sabtu lalu, berlangsung dengan IPU melebihi 101 yang dikategorikan tidak sihat namun tidak melebihi 150 seperti ditetapkan FAM untuk membolehkan aksi itu ditunda.

Bagaimanapun keadaan itu menyebabkan pemain mengalami kesukaran bernafas selain menjejaskan penonton yang hadir di stadium.

“Kita akan memperjelaskan kepada komisioner perlawanan dengan lebih terperinci. Kita mahu mereka menggunakan kuasa diberikan sekiranya difikirkan sesuai, termasuk membatalkan perlawanan,” jelasnya.

Afandi berkata, pihaknya sememangnya peka dan mengambil berat mengenai kesihatan semua pihak terbabit.

Sehingga kini hanya perlawanan membabitkan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) II menentang Kedah yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu lalu ditunda kerana jerebu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:34 AM